Memperkenalkan golongan belia dengan bacaan Selawat, Qasidah




 

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Hernie Suliana Haji Othman





TUTONG, Khamis, 18 Julai. - Pentas Perayaan di Daerah Tutong malam tadi disemarakkan lagi dengan acara bercorak keagamaan, iaitu Mawlid Akbar Tutong Berselawat anjuran Dhiyaul Iman.


Pentas Perayaan yang diadakan di kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, di sini, adalah bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78.


Antara pengisian dalam acara berkenaan ialah persembahan daripada ahli Dhiyaul Iman dan Babussalam yang mempersembahkan lagu Tolama, Selawat Badriyah, Sayyidul Istighfar dan lain-lain lagi.


Acara juga turut diserikan lagi dengan tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.


Inti sari tazkirah berkenaan berkaitan dengan memperkuatkan lagi zikir dan selawat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.


Hadir selaku tetamu kehormat pada acara berkenaan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, yang juga Ketua Kampung Sengkarai.


Antara lain tujuan acara berkenaan diadakan adalah bagi memperkenalkan kepada masyarakat terutamanya golongan belia dengan Majlis Mawlid bacaan Selawat dan Qasidah dalam menanamkan rasa cinta dan rindu kepada baginda Rasulullah melalui bacaan Qasidah dan syair Melayu.


Di samping itu, ia juga menjadi satu wadah untuk masyarakat bagi mengisi waktu lapang dengan beribadah (Selawat) dan mempelajari sirah baginda Rasulullah.


Pihak penganjur berharap dengan terlaksananya acara berkenaan, diharap ia akan diadakan secara besar-besaran dan menarik perhatian golongan masyarakat di negara ini.


Dalam pada itu, pentas perayaan bercorak keagamaan berkenaan turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pengunjung yang hadir.


Close