Lawatan rasmi Menteri Pertahanan Malaysia ke NBD



​​


Oleh : Pg. Syiaruddin Pg. Dauddin / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas





 

BERAKAS, Selasa, 9 Julai. - Kementerian Pertahanan pagi tadi menerima lawatan rasmi daripada Menteri Pertahanan Malaysia, Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin yang sedang berada di Negara Brunei Darussalam (NBD) dari 8 hingga 9 Julai 2024. 

 

Sejurus tiba di Kementerian Pertahanan, Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Khaled dialu-alukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan seterusnya menerima Tabik Hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota-anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB). 

 

Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Khaled kemudiannya mengadakan kunjungan muhibah kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.

 

Semasa kunjungan tersebut, kedua-dua pihak menyatakan rasa puas hati dengan tahap hubungan pertahanan dan ketenteraan yang kukuh dan terus berkembang di antara kedua buah negara, mengakui kepentingan untuk meneruskan kerjasama yang ada, dan di samping berbincang mengenai keamanan dan keselamatan serantau dan global. 

 

Lawatan rasmi Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Khaled ke NBD merupakan lawatan yang pertama sejak beliau dilantik sebagai Menteri Pertahanan Malaysia pada Disember 2023 yang lalu.

 

Close