Bersama mengelinga kebajikan, kesejahteraan pesakit memerlukan bantuan





Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said, Ak. Md. Hasnal Ali Saodiqen Pg. Haji Abu Bakar 





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 9 Julai. - Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) hari ini memeterai penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kementerian Kesihatan dan Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC) yang diselajurkan dengan pelancaran Penyerahan Penempatan Bantuan Peralatan Pesakit Kepada Golongan Yang Memerlukan.


Projek Penempatan Bantuan Peralatan Pesakit Kepada Golongan Yang Memerlukan berkenaan adalah merupakan projek bantuan jangka masa panjang YSHHB dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan PJSC.


Melaluinya nanti, sebahagian bantuan peralatan perubatan YSHHB akan diberikan secara pinjaman sahaja dan sebahagian lagi, iaitu khususnya bagi peralatan pesakit yang tidak dapat digunakan secara berkongsi akan diberikan secara 'one-off'.


Penempatan Bantuan Peralatan Pesakit Kepada Golongan Yang Memerlukan berkenaan nanti akan berpusat di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan PJSC yang merangkumi untuk pesakit di seluruh negara.


Pengurusan Bantuan Peralatan Pesakit berkenaan nanti akan dilaksanakan melalui Perkhidmatan Kebajikan Perubatan, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kerja Sosial Perubatan, PJSC manakala YSHHB pula akan berperanan sebagai pihak yang akan menyediakan peralatan pesakit yang diperlukan.


Sehubungan itu, Majlis Penandatanganan MoU dan Pelancaran Projek Penempatan Bantuan Peralatan Pesakit Kepada Golongan Yang Memerlukan melalui Perkhidmatan Kebajikan Perubatan, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kerja Sosial Perubatan, PJSC berkenaan berlangsung di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Bangunan YSHHB, di sini.


Hadir selaku tetamu-tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, selaku Pengerusi PJSC; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, selaku  Ahli Lembaga Pengarah YSHHB dan juga Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan YSHHB.


Majlis Penandatanganan MOU bagi pihak YSHHB ditandatangani oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB manakala menandatangani bagi pihak Perkhidmatan Kebajikan Perubatan, Kementerian Kesihatan adalah Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin; dan bagi pihak Jabatan Kerja Sosial Perubatan, PJSC pula adalah Pengarah Eksekutif, PJSC, Dr. Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar.


Penyerahan penempatan bantuan peralatan pesakit kepada golongan yang memerlukan disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II manakala menerima bagi pihak Kementerian Kesihatan dan PJSC ialah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.


Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya menyerahkan kepada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital RIPAS, Awang Abdol Hazis bin Haji Ahad, bagi pihak Kementerian Kesihatan; dan Dr. Haji Mazrul Adimin bagi pihak PJSC. 


YSHHB melalui Perkhidmatan Kebajikan dan Pembangunan Sosial (PKPS) melaksanakan projek berkenaan dengan tujuan untuk memastikan pengurusan amal jariah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta ahli kerabat diraja baginda akan dapat dilaksanakan dengan lebih terarah, efektif dan efisien dengan hasrat ia akan dapat memberikan ganjaran pahala yang berpanjangan dan berterusan kepada baginda dan ahli kerabat diraja baginda selama mana bantuan peralatan pesakit yang disediakan diguna pakai.


Di samping itu, ia juga dihasrat memberi manfaat kepada para pesakit yang memerlukannya di samping untuk mengukuhkan lagi jalinan kerjasama yang sedia ada antara YSHHB dengan Kementerian Kesihatan dan PJSC dan untuk melaksanakan pendekatan secara Whole Of Nation dalam 'mengelinga' kebajikan dan kesejahteraan para pesakit yang memerlukan bantuan khususnya dalam kalangan pesakit atau keluarga pesakit yang tidak / kurang berkemampuan. 


Turut hadir pada majlis berkenaan ialah para jemputan khas, pegawai-pegawai dan kakitangan YSHHB, Kementerian Kesihatan dan PJSC.



Close