262 pegawai, kakitangan KHEU terima P.K.L



​​


Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid





 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 9 Julai. - Seramai 262 pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan jabatan-jabatan di bawahnya serta tenaga pengajar dari institusi-institusi pendidikan dikurniakan Pingat Kerja Lama (P.K.L) atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Ulang Tahun Keputeraan baginda Ke-77 Tahun bagi 2023.

 

Majlis yang berlangsung di Dewan Serambi Suluh, Tarindak d'Seni, Bandar Seri Begawan dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, yang juga turut menyempurnakan penyampaian pingat-pingat.

 

Pengurniaan pingat-pingat kehormatan kepada para penerima dalam kalangan warga kementerian berkenaan merupakan pengiktirafan dan penghargaan daripada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di samping mengenang jasa bakti yang telah dicurahkan oleh para penerima pingat sepanjang perkhidmatan mereka.

 

Selain itu, ia juga sebagai motivasi dan penyuntik semangat kepada warga KHEU untuk meningkatkan lagi kualiti dan produktiviti kerja dengan lebih cemerlang.

 

Antara kriteria para penerima P.K.L. adalah selain genap 20 tahun perkhidmatan, penerima juga hendaklah mempunyai rekod perkhidmatan yang baik; memiliki sifat-sifat dan keperibadian yang terpuji serta mempunyai penilaian prestasi yang dinilai sangat baik sepanjang kebelakangan.

 

Acara berkenaan dikendalikan oleh Bahagian Dasar dan Strategik dengan kerjasama Bahagian Pentadbiran, KHEU.

 

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap, KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Awang Misle bin Haji Abdul Karim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Awang Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd. Salleh; dan Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani. 

 

Close