Berkenan terima mengadap Menteri Pertahanan Malaysia





Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Alishahrin Haji Momin

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 9 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan menerima mengadap Menteri Pertahanan Malaysia, Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin.

 

Majlis Mengadap tersebut berlangsung di Istana Nurul Iman. 

 

Menyertai Menteri Pertahanan Malaysia ialah Kuasa Usaha Sementara, Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Nur Ezira Mahadi dan Pegawai-pegawai Kanan dari Kementerian Pertahanan Malaysia. 

 

Negara Brunei Darussalam dan Malaysia telah menjalinkan hubungan dua hala yang erat dan mesra serta akan melakar detik bersejarah sempena hubungan diplomatik ke-40 tahun pada tahun ini yang mana kerjasama pertahanan di antara kedua buah negara telah mula dimeterai melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada 14 Februari 1992. 

 

Kedua buah negara telah terlibat dalam pelbagai kerjasama dua hala termasuk mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pertahanan Bersama, latihan ketenteraan bersama, dan program kursus serta aktif dalam kerjasama pelbagai hala khususnya dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang menegaskan komitmen kedua buah negara terhadap kerjasama keselamatan serantau. 

 

Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Khaled dan rombongan berada di Negara Brunei Darussalam bagi lawatan rasmi selama dua hari mulai 8 hingga 9 Julai 2024.

 

Close