MRSB korbankan 7 ekor kerbau



​​​

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Azmah Haji Ahad





 

SUNGAI AKAR, Isnin, 17 Jun. - Hari-hari Tasyrik pada bulan Zulhijah ini harus disemarakkan dengan acara-acara ibadah korban sekali gus bagi meraih keberkatan dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wata'ala sambil membantu dan bersedekah kepada mereka yang memerlukan sebagai tanda taat dan syukur atas nikmat Allah Subhanahu Wata'ala.

 

Dengan mengambil keberkatan tersebut, Ahli Jawatankuasa Takmir (AJKT) Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar telah menganjurkan Majlis Ibadah Korban yang diadakan di ruang legar masjid berkenaan, hari ini.

 

Majlis tersebut merupakan salah satu aktiviti keagamaan yang diadakan setiap tahun oleh AJKT masjid berkenaan.

 

Sebanyak tujuh ekor kerbau telah dikorbankan hasil daripada penyertaan 43 peserta dan penyerahan daging tersebut akan diagihkan kepada 95 orang fakir miskin dan tiga orang anak-anak yatim dari Kampung Sungai Akar dan kawasan persekitarannya.

 

Penyerahan daging tersebut disampaikan oleh Penaung MRSB iaitu Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Ketua Kampung Sungai Akar, Awang Haji Zailani bin Haji Malik.

 

Terdahulu majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan takbir raya beramai-ramai yang dipimpin oleh Imam Masjid. Kerja-kerja penyembelihan telah dijalankan seawal jam 11.00 pagi dengan melantik sebuah syarikat yang terletak di Kampung Masin.

 

Adapun aktiviti keagamaan tahun ini adalah bagi sama-sama memperingati peristiwa bersejarah dalam Islam tentang penyembelihan yang berkaitan dengan Nabi Ibrahim Alaihissalam dan putera baginda Nabi Ismail sekali gus mengeratkan ukhuwah dan perpaduan khususnya bagi penduduk Kampung Sungai Akar dan sekitarnya.

 

Close