Pengurusan ibadah korban berjalan lancar





Oleh : Haniza Abdul Latif, Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman, Alishahrin Haji Mumin

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 17 Jun. - Kerja-kerja proses penyembelihan dan melapah serta pembungkusan bagi haiwan Ibadah Korban Sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta kerabat baginda sempena Hari Raya Aidiladha Tahun 1445 Hijrah / 2024 Masihi telah dilaksanakan oleh dua buah syarikat tempatan, hari ini.

 

Bagi melancarkan kerja-kerja proses penyembelihan dan melapah serta pembungkusan khusus bagi Ibadah Korban Sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat baginda pada tahun ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah melantik dua syarikat iaitu Syarikat Mohammed Nurfaidzal bin Haji Zainuddin dan Anak-anak yang terletak di Lot G, Projek Ladang Ternakan Lampaki, Jalan Mulaut Lampaki, Kampung Mulaut sebagai pembekal haiwan korban.

 

Selain Syarikat Mohammed Nurfaidzal bin Haji Zainuddin dan Anak-anak, Syarikat PDS Abattoir Sendirian Berhad, Tapak Perusahaan Rumah Penyembelihan di Kawasan Pertanian Kampung Batang Mitus, Mukim Kiudang, Tutong juga turut dilantik sebagai pembekal haiwan korban.

 

Sebanyak 198 ekor haiwan korban yang melibatkan 184 ekor sapi dan 14 ekor kambing dikorbankan dan sebahagian daging ibadah korban sunat tersebut diagihkan kepada sejumlah 14,944 orang iaitu kepada asnaf fakir dan miskin berserta tanggungan di seluruh negara.

 

Seterusnya, Syarikat PDS Abattoir Sendirian Berhad yang terletak di Mukim Kiudang di mana daripada 184 ekor sapi yang dikorbankan pada tahun ini, mereka telah mengorbankan 150 ekor sapi dan selebihnya dibuat oleh Syarikat Mohammed Nurfaidzal bin Haji Zainuddin dan Anak-anak.

 

Syarikat-syarikat yang telah dilantik ini juga turut menyediakan perkhidmatan penyembelihan haiwan korban mengikut kehendak undang-undang syariat Islam yang ketat dengan kebersihan dan kualiti yang terjamin. Di samping itu juga, syarikat berkenaan membekalkan daging segar dan beku ke kedai-kedai 'supermarket' dan restoran-restoran di negara ini.

 

Close