Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Muhammad Asri Haji Awang Abas
KIARONG, Isnin, 17 Jun. - Ibadah korban yang dilakukan oleh umat Islam pada setiap tahun di dalam bulan Zulhijah ini tidak wajar dilihat sebagai satu adat atau tradisi sesuatu kelompok masyarakat kerana ibadah korban itu sebenarnya mempunyai beberapa tujuan atau rahmat yang perlu dihayati bersama.
Demikian antara inti pati Khutbah Pertama Aidiladha 1445 Hijrah bersempena meraikan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini yang diimarahkan dengan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong antara tumpuan utama selain beberapa masjid utama di daerah masing-masing.
Berangkat mengimarahkan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha dan mendengarkan khutbah bersama jemaah yang hadir ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Juga berangkat, paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Semasa khatib di atas mimbar seterusnya membacakan, mengingati peristiwa pengorbanan teragung Nabi Ibrahim Alaihissalam dan puteranya Nabi Ismail Alaihissalam pengorbanan yang sebenar-benar menguji kesabaran dan kesungguhan mereka berdua di dalam mentaati perintah Allah Subhanahu Wata'ala.
“Kita dapat bayangkan betapa berat dan susahnya untuk melaksanakan perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada Nabi Ibrahim Alaihissalam iaitu menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail Alaihissalam," jelas Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Mat Dain@Maidin ketika menyampaikan khutbah.
Namun atas dasar mentaati perintah Allah, katanya, kedua-dua mereka tetap patuh melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah itu tanpa mempedulikan risiko akibat melaksanakan perintah tersebut iaitu kematian Nabi Ismail Alaihissalam.
“Inilah namanya pengorbanan yang hebat semata-mata untuk melaksanakan perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Jika bukan kerana ketaatan yang didasari oleh keimanan dan ketakwaan yang tinggi mungkin sahaja perintah yang sangat berat ini diabaikan atau sekurang-kurangnya ditangguhkan dengan mengajukan pelbagai alasan bahkan mungkin juga akan dirayu untuk dikurangkan atau digantikan dengan perintah yang lainnya.
“Tetapi apa kesudahan yang mereka dapat setelah mereka melaksanakannya? Al-Quran telah merakamkan natijah atau ganjaran ketaatan mereka iaitu Allah menyelamatkan Nabi Ismail Alaihissalam dan dia ditebus dengan haiwan sembelihan,'' katanya lagi. Demikian kekuasaan dan kemurahan Allah Subhanahu Wata'ala di dalam menggembirakan orang-orang yang taat kepada perintah Allah Subhanahu Wata'ala.
Sementara dalam Khutbah Kedua menerangkan bahawa dalam suasana kita menyambut Hari Raya ini kita tidak lupa mengenang saudara mara kita jemaah haji Negara Brunei Darussalam yang berada di Tanah Suci.
“Mereka adalah sebahagian daripada jutaan saudara-saudara kita sedunia yang menunaikan ibadah haji tahun ini. Mereka adalah hamba-hamba Allah yang beruntung diperkenankan dan diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala menjadi tetamunya di Tanah Suci pada tahun ini. Kita mendoakan semoga mereka sentiasa dalam perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata'ala," jelas Dato Seri Setia Dr. Haji Japar lagi.
Tambahnya, dalam kita berhari raya dengan suasana aman, tenang, selamat dan selesa seperti yang kita rasakan ini, kita juga tidak lupa mengenang kepada ribuan, malah ratusan ribu saudara-saudara seagama kita yang terperangkap dalam kacau-bilau, dalam huru-hara dan dalam kemusnahan perang di tanah air mereka seperti saudara kita yang berada di Palestin.
Bagi kita yang bermastautin di tanah air dalam suasana aman dan damai ini, wajarlah mengambil iktibar, bahawa kita sekarang dan generasi kita yang akan datang hendaklah tidak bersikap terlalu selesa dan mengambil ringan akan keadaan aman damai, keadaan selamat dan sejahtera, keadaan makmur dan jaya yang ada pada masa ini.
Khutbah seterusnya menekankan, nikmat-nikmat yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada kita ini, hendaklah sentiasa disyukuri. Antara cara mensyukuri nikmat-nikmat Allah itu ialah dengan memanfaatkan segala yang dinikmati itu ke arah kebaikan, sentiasa meningkatkan usaha dan kewaspadaan.
“Kita waspada sebarang anasir-anasir yang berniat jahat dan yang cuba melakukan kerosakan. Kita semua adalah bertanggungjawab mengekalkan keamanan dan keselamatan di negara kita ini. Kita bertanggungjawab juga memberikan jaminan keselamatan dan keamanan kepada anak cucu kita, zuriat dan generasi penerus di masa hadapan.
“Maka kita sangat yakin bahawa cara untuk mengekalkan keamanan yang aman dan selamat pada masa sekarang dan untuk zuriat kita pada masa akan datang ialah dengan meneguhkan pegangan dan keyakinan kepada agama Islam. Kita berusaha dan berdoa memohon pertolongan daripada Allah Subhanahu Wata'ala agar Negara Brunei Darussalam kekal aman dan damai, sentiasa selamat dan sejahtera, dilimpahkan kemakmuran dan keberkatan, kekal berdaulat dan maju jaya dengan pemerintahan beraja yang berpaksikan Islam. Amin Ya Rabbal Alamin," tegasnya lagi.
Terdahulu, keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Tahun 1445H dan Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Turut menjunjung keberangkatan, Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha Berjemaah diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Sejurus selesai Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan paduka-paduka anakanda dan adinda seterusnya berkenan menerima junjung ziarah daripada jemaah masjid sebelum ke acara sesi penyembelihan haiwan korban sunat baginda di pekarangan luar Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.