Tingkatkan kesedaran kepentingan penjagaan, pendidikan awal kanak-kanak





Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Hernie Suliana Haji Othman





TUNGKU LINK, Isnin, 10 Jun. - Kementerian Pendidikan hari ini mengadakan Majlis Perasmian Program Perkembangan Kapasiti Pusat Serantau 'Holistic Integrated Early Childhood Care Education : Our Happy Neighbourhood', bertempat di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam.


Majlis tersebut dianjurkan oleh Jabatan Sekolah-sekolah melalui Unit Pendidikan Awal Kanak-kanak dengan kerjasama Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam dan Southeast Asian Ministers of Education Organization Regional Centre for Early Childhood Care Education and Parenting (SEAMEO CECCEP), Indonesia.


Perasmian program tersebut disempurnakan oleh Pengarah Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Dayang Hajah Marina Chek binti Bujang selaku tetamu kehormat majlis.


Turut hadir, Pengarah Pendidikan Anak Usia Dini, Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Riset dan Teknologi, Republik Indonesia, Puan Komalasari; dan Pengarah SEAMEO CECCEP, Profesor Vina Adriany.


Semasa berucap, Dayang Hajah Marina Chek menjelaskan bahawa tema 'Our Happy Neighbouthood' yang diketengahkan dalam program tersebut dihasratkan agar para peserta dapat memupuk pendekatan holistik dan integratif dalam membimbing anak-anak, di samping mengiktiraf hak mereka sebagai tanggungjawab bersama dalam masyarakat kita di negara ini.


Katanya, program tersebut diharap akan memberi impak positif kepada kehidupan anak-anak dan masyarakat di negara ini melalui peningkatan dalam kualiti pendidikan awal kanak-kanak melalui pendekatan inovatif dan berdasarkan projek, peningkatan kesedaran dan pemahaman tentang keperluan holistik pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak, selain bertujuan untuk membekalkan guru-guru prasekolah dengan pengetahuan, model, dan amalan terbaik yang boleh digunakan di pelbagai situasi.


“Mudah-mudahan secara bersama-sama, kita akan membuka jalan untuk masa depan yang lebih cerah dan inklusif, dengan setiap kanak-kanak mempunyai peluang untuk berkembang dan berjaya," ujar beliau.


Program berbentuk taklimat dan bengkel tersebut akan berlangsung selama empat hari, bermula hari ini hingga 13 Jun 2024 dengan melibatkan seramai 86 peserta yang terdiri daripada ketua-ketua kluster dan guru-guru prasekolah kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan.


Bengkel dan taklimat akan disampaikan oleh seramai 12 fasilitator dari Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan, Riset dan Teknologi; juga SEAMEO CECCEP, Indonesia.


Antara objektif program tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang pentingnya penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti.


Selain itu, melalui perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik, program tersebut diharap akan dapat mempertingkatkan cara merancang masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.


Melalui program tersebut juga dapat memupuk kerjasama antara pelbagai pihak, termasuk keluarga, masyarakat dan sekolah untuk memastikan hak serta keperluan kanak-kanak terjaga dengan baik.


Di samping itu, program turut memperkenalkan pendekatan pendidikan inklusif bagi memastikan setiap kanak-kanak, termasuk kanak-kanak berkeperluan khas, mendapat akses yang sama dalam pembelajaran.


Close