Menginterpretasikan nilai sejarah dalam pengisian pidato





Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Jun. - Bengkel Pidato Sejarah diharap dapat membantu para peserta pidato untuk meningkatkan lagi mutu persembahan masing-masing setelah mendapatkan garis pandu, idea-idea bernas dan sekali gus dapat mengaplikasikan teknik penyampaian pidato dengan lebih berkesan, bagi menghasilkan sebuah penyampaian pidato yang mantap dan jitu.


Pengetua Pusat Sejarah Brunei (PSB), Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong menyatakan demikian semasa majlis pembukaan bengkel berkenaan yang berlangsung di Dewan Jawatan Dalam di PSB, hari ini.


Menurut Dr. Haji Muhammad Hadi lagi, bengkel tersebut sebagai persediaan para peserta pertandingan yang bertujuan memberi peluang kepada para peserta untuk mendalami dan menghalusi ilmu penyampaian dan penghayatan pidato dengan teknik dan kaedah yang mampu memberi impak yang lebih berkesan kepada para audiens.


“InsyaaAllah, bengkel ini akan dibimbing oleh empat fasilitator yang memiliki kepakaran khusus terutama dalam bidang pengkajian sejarah, penulisan, bahasa dan seni drama pentas.


“Melalui perkongsian ilmu dalam bengkel itu nanti maka para peserta akan mampu menginterpretasikan nilai sejarah itu ke dalam pengisian pidato agar isi yang hendak disampaikan dapat dihayati sepenuhnya oleh para audiens dan peminat sejarah amnya," jelasnya.


Tambahnya, melalui bimbingan para fasilitator bengkel yang akan berlangsung selama dua hari ini diharap para peserta dapat menjadikannya sebagai satu medan yang cukup berharga dan penting untuk diraih bagi mempertingkat dan mempertajamkan lagi ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang berpidato.


Bengkel dua hari iaitu pada 10 dan 11 Jun itu dihadiri oleh seramai 49 peserta yang terdiri daripada golongan belia berumur 18 hingga 35 tahun dan para pelajar Tahun 9, Tahun 10 dan Tahun 11 di sekolah-sekolah menengah kerajaan dan swasta di negara ini.


Sepanjang dua hari bengkel ini diadakan, empat fasilitator akan mengongsikan tajuk fokus masing-masing iaitu 'Isi dan Analisis Pidato : Sumber dan Bahan Kandungan' oleh Dr. Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos; 'Suara, Kepetahan dan Kefasihan' oleh Dr. Siti Badriyah binti Haji Mohd. Yussof; 'Isi dan Analisis Pidato : Struktur dan Pengisian Teks' oleh Haji Rosli bin Haji Ampal dan 'Gaya Persembahan, Kreativiti dan Teknik Berpidato' oleh Mohammed Zefri Ariff bin Mohammed Zain Ariff.


Melalui bengkel itu, para peserta akan didedahkan mengenai kaedah dan teknik berpidato yang berkesan dan menepati kriteria pertandingan dalam menyampai dan membarigakan sejarah Brunei.


Para peserta akan dibimbing untuk membuat tafsiran dan penilaian semula secara kritis terhadap suatu peristiwa bersejarah negara dengan menggunakan kaedah penyelidikan dan kajian sejarah yang tepat. Kesedaran mengenai kepentingan persejarahan negara akan mengukuhkan perasaan taat setia dan cintakan raja, agama, bangsa dan negara.


Di samping memperkenalkan bidang sejarah sebagai bidang yang menarik untuk dipelajari, dikaji dan difahami, dalam bengkel ini juga, bakat dan kreativiti para peserta akan dipupuk, diasah dan dikembangkan dalam menyampaikan hasil kajian sejarah secara berpidato.


Close