Bersama menjaga kelestarian alam sekitar marin, promosi Ekonomi Biru





Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Azmah Haji Ahad





 

SERASA, Isnin, 10 Jun. - Sambutan Hari Lautan Sedunia 2024 bersempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2024 (MYCE 2024) telah dilancarkan di Dewan Nur Huda, Kompleks Perikanan Muara, Jabatan Perikanan, petang tadi.

 

Hadir selaku tetamu kehormat bagi melancarkan sambutan tersebut, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan pembukaan yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Poni Divers Brunei, Awang Mohd. Tahsin Wong Abdullah selaku wakil penganjur bersama.

 

Beliau ketika berucap antara lain berkata 'Ocean Week Brunei' dihasrat dapat memberi inspirasi kepada generasi akan datang melalui pendidikan, penglibatan dan pemerkasa yang telah mengumpulkan pihak kerajaan, ahli perniagaan, organisasi berkepentingan dan institusi pendidikan di dalam sama-sama membincangkan cabaran dan penyelesaian pemuliharaan marin setempat serta seluruh dunia agar dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi biru dan kelestarian ekosistem marin negara.

 

Majlis kemudian diteruskan dengan tayangan video 'Brunei Reef Ball Program', pembentangan ucaptama daripada Pengasas dan Pengerusi The Reef Ball Foundation, Mr. Todd Barber; sesi pembentangan oleh James anak Bali dari Sarawak Forestry Corporation dan seterusnya diakhiri dengan sesi demonstrasi 'Reef Ball Fabrication' di kawasan Jeti Jabatan Perikanan.

 

Hari Lautan Sedunia 2024 yang diraikan pada setiap 8 Jun adalah merupakan inisiatif global yang dilaksanakan bagi memangkin tindakan untuk lautan dan iklim dengan tema tindakan pada tahun ini, iaitu 'Catalyzing Action for Our Ocean and Climate'.

 

Pada tahun ini bersempena dengan sambutan Hari Lautan Sedunia 2024, acara 'Ocean Week Brunei' dianjurkan adalah dengan kerjasama antara Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan Poni Divers Brunei yang telah diadakan bermula pada 31 Mei lalu hingga hari ini.

 

Pelbagai acara menarik telah diaturkan oleh Jabatan Perikanan bersama Poni Divers Brunei, antaranya acara 'Ocean Sustainability Conference - Investing in Ocean Futures' pada 6 Jun 2024, acara 'National Coastal Marvel and Shore Cleanup' pada 9 Jun 2024 dan beberapa acara sampingan yang lain.

 

Acara 'Ocean Week Brunei' diadakan adalah bagi menyatukan pihak kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi, dan lain-lain agensi yang berkepentingan untuk menangani isu-isu yang dihadapi dalam pemeliharaan marin di rantau ini , di samping untuk menjadi inspirasi kepada generasi akan datang mengenai kepentingan kerjasama semua lapisan masyarakat dalam sama-sama menjaga kelestarian alam sekitar marin serta mendukung usaha ekonomi biru Brunei Darussalam.

 

Ekonomi Biru (Blue Economy) telah dikenal pasti sebagai strategi utama untuk mengekalkan biodiversiti marin.

 

Nilai teras ekonomi biru terletak pada keseimbangan antara mengekalkan ekosistem marin yang sihat dan memastikan manfaat ekonomi dapat diraih daripada sumber persisiran pantai dan marin untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

 

Dengan mempunyai alam sekitar marin dan persisiran pantai yang bersih dan sihat, boleh mewujudkan pusat pertumbuhan yang baharu berkaitan dengan aktiviti pelancongan maritim selain dapat menyumbang kepada kesan positif pertumbuhan ekonomi, alam sekitar dan sosial kepada destinasi yang dikunjungi oleh pelancong.

 

Juga hadir, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Luke Arnold; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Timor-Leste ke NBD, Tuan Yang Terutama Abel Guterres.

 

Turut hadir semasa majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap, KSSUP, Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; Timbalan Setiausaha Tetap II, KSSUP, Dayang Hajah Dahliana binti Haji Aliakbar; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap I, KSSUP, Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim; Pemangku Pengarah Perikanan, Dayang Hajah Wanidawati binti Haji Tamat.

 

Maklumat lanjut mengenai 'Ocean Week Brunei' turut dikongsikan di laman Instagram rasmi Jabatan Perikanan di '@fisheries.bn'.

 

Close