Kerjasama serantau bina daya tahan siber





Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





JERUDONG, Isnin, 10 Jun. - Tripartite Forum menghimpunkan lebih 400 pemimpin perniagaan, ahli parlimen dan pegawai kerajaan dari seluruh ASEAN untuk membincangkan isu di bawah tema 'Membina Ekonomi Digital yang Rancak di ASEAN: Strategi untuk Ketahanan Siber dan Kemakmuran Bersama'.


Forum yang berlangsung di Dewan Indera Samudra, The Empire Hotel, menekankan bahawa walaupun transformasi digital menawarkan banyak faedah kepada masyarakat, celik digital dan kesedaran siber tidak sepadan dengan kadar penggunaan digital yang mewujudkan peluang untuk jenayah siber dan penipuan dalam talian berkembang.


Pada sebelah pagi, forum tersebut menampilkan ucaptama yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dan Presiden Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA), Profesor Tetsuya Watanabe.


Forum selama sehari itu turut menekankan akan kepentingan untuk melindungi infrastruktur kritikal dan data sensitif ASEAN ke arah masa depan digital selain memberikan pandangan tentang isu utama yang dihadapi oleh pertumbuhan ekonomi digital di ASEAN dan menangani keperluan kerjasama serantau untuk membina daya tahan siber.


Para peserta juga membincangkan strategi untuk meningkatkan celik digital, penyelarasan peraturan dan pembangunan perkongsian awam-swasta untuk mengukuhkan keselamatan siber di seluruh rantau ini.


Tripartite Forum tersebut dihoskan oleh Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Brunei dan Majlis Penasihat Perniagaan APEC Brunei dengan kerjasama ERIA.


Acara ini merupakan sebahagian daripada Program Ekonomi Brunei, yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan organisasi sektor swasta dan awam terkemuka.


Close