Keutuhan kekeluargaan memperkukuh kemakmuran negara





Siaran Akbar dan Foto : Jabatan Pembangunan Masyarakat





 

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 18 Mei. - Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) mengadakan mesyuarat pertama hari ini bagi membincangkan persediaan-persediaan bagi menyambut HKK Kali Ke-12 yang berlangsung di Bilik Persidangan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini.

 

Hadir selaku Pengerusi Bersama Sambutan HKK bagi tahun 2024 adalah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS, Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; dan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr. Dayang Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

 

Dalam ucapan alu-aluannya, Dayang Hajah Nor Ashikin selaku Pengerusi Bersama, mengongsikan bahawa dalam menggerakkan Matlamat Kedua Wawasan Brunei 2035, iaitu pencapaian Kualiti Kehidupan Rakyat Yang Tinggi, satu Social Blueprint telah digubal dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS), yang mengenal pasti keluarga sebagai salah satu bidang fokus utama sebagai landasan bagi penyediaan, pelaksanaan dan pemantauan dasar dan strategi yang lebih terarah bagi pencapaian matlamat tersebut.

 

Tambahnya, ini adalah kerana keluarga memainkan peranan penting dalam pembentukan modal insan berlandaskan nilai-nilai murni, kasih sayang, hormat-menghormati serta nilai-nilai keagamaan yang teguh, yang menyumbang kepada kesejahteraan dan kebajikan masyarakat.

 

Nilai-nilai murni yang diterapkan dalam inisiatif keluarga jelasnya, akan menentukan keutuhan sesuatu masyarakat dalam mengharungi pelbagai perubahan dan cabaran bagi memperkukuhkan lagi keselamatan, keamanan, kemakmuran dan kemajuan negara.

 

Beliau berharap Sambutan HKK pada tahun ini akan menjadi platform untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan memperkukuhkan nilai-nilai murni dalam keluarga.

 

Sambutan HKK tekannya, merupakan salah satu inisiatif utama dalam Pelan Tindakan Keluarga di bawah MKIS.

 

Cadangan Pelan Tindakan Keluarga bagi tahun 2023 - 2027 menurutnya lagi, telah dibentangkan dan disahkan di peringkat MKIS pada Mei 2023 dan akan dilancarkan pada tahun ini.

 

Beliau juga mengharapkan sambutan HKK ini diraikan di semua peringkat umur dan merentas generasi bermula dengan peringkat kanak-kanak; para belia, golongan warga emas dan tidak melupakan golongan OKU.

 

Oleh itu katanya, adalah diharapkan agar semua pihak, agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan-pertubuhan, institusi-institusi, para penghulu dan ketua kampung, serta pemimpin akar umbi masyarakat, berganding bahu untuk terus sama-sama bekerjasama, dalam memberikan komitmen yang sepadu, terutama sekali dalam menggerakkan acara-acara sambutan, sama ada di peringkat kebangsaan, daerah, mukim atau kampung masing-masing, mahupun di peringkat sekolah dan institusi tertinggi, organisasi, persatuan, masyarakat, ataupun kumpulan keluarga masing-masing, untuk mencapai matlamat tersebut.

 

HKK disambut pada setiap Ahad di minggu pertama bulan Mei setiap tahun, dan tema HKK pada tahun ini ialah 'Keluargaku Harapanku', manakala Fokus HKK adalah 'Menerapkan Nilai-nilai Teras Kekeluargaan Brunei: Sayang-menyayangi; Tanggungjawab; Hormat-Menghormati; Pemedulian' (Nilai-nilai Teras Kekeluargaan Brunei : 'SaTu HaraPan').

 

Turut hadir ke mesyuarat ini ialah ahli-ahli jawatankuasa tertinggi yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, sektor swasta dan persatuan badan-badan bukan kerajaan.

 

Close