372.5kg sampah berjaya dikumpulkan





Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Azmah Haji Ahad





MUARA, Sabtu, 18 Mei. - Kempen Kebersihan Senegara Persisiran Pantai bagi Serpihan Laut Coastal Marvel di bawah Jawatankuasa Induk Isu-isu Kebersihan (JIIK) bagi Kementerian Pembangunan di Taman Rekreasi Pantai Muara berjaya mengutip kira-kira 372.5 kilogram (kg) sampah.


Lebih 200 orang menyertai kempen yang dikendalikan oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan itu juga berjaya mengutip sebanyak 183kg daripadanya adalah sisa botol plastik.


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.


Acara didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan taklimat keselamatan semasa pembersihan pantai. Sebelum memulakan Kempen Kebersihan di sepanjang persisiran pantai, acara diteruskan dengan sesi pemanasan badan dan senaman ringan beramai-ramai.


Kempen yang diadakan bersempena Sambutan Hari Bumi 2024 itu turut diselitkan dengan Aktiviti Marvel-Race 2024 iaitu satu pertandingan mini antara jabatan-jabatan dan divisyen-divisyen di bawah Kementerian Pembangunan yang melibatkan aktiviti-aktiviti pergerakan, interaktif dan informatif bagi memeriahkan lagi acara kempen tersebut.


Turut hadir, Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohammad Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Dayang Aldila binti Haji Mohammad Salleh; Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Dayang Hajah Martinah binti Haji Tamit, selaku Pengerusi Majlis serta ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.


Adapun kempen berkenaan mula diperkenalkan pada tahun 2021 oleh Kementerian Pembangunan dan Kempen Kebersihan Coastal Marvel itu juga dijadikan satu usaha 'lead by example' pihak kerajaan di bawah JIIK dalam meningkatkan kesedaran awam perihal kepentingan menjaga kebersihan, khususnya di persisiran pantai dan di perairan.


Selain itu, memperkasa masyarakat untuk menanamkan rasa tanggungjawab dalam melindungi dan memelihara alam sekitar melalui kaedah pembuangan sampah yang betul. Maklumat lanjut mengenai kempen ini turut dikongsikan di laman Instagram rasmi Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi @jastre.bn. 


Close