Pesta Adau Gayoh : Platform melestarikan warisan budaya





Oleh : Khartini Hamir / Foto : Alishahrin Haji Mumin

 





TUTONG, Sabtu, 18 Mei. - Pesta Adau Gayoh adalah bukti keindahan dan kekayaan warisan budaya, di mana sambutan seperti ini menjadi platform untuk memperkenalkan budaya terutama sekali kepada generasi muda supaya tidak lapuk ditelan zaman.

 

Melalui pesta seperti ini juga dapat mempamerkan keunikan tradisi, makanan, muzik, tarian, dan pakaian tradisional yang mencerminkan identiti masyarakat dusun sejajar dengan tema pesta kali ini iaitu 'Melestarikan Adau Gayoh Sebagai Warisan Budaya'.

 

Perkara itu disampaikan oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Muhammad Usamah bin Haji Sarbini semasa Majlis Pelancaran Pesta Adau Gayoh Kebangsaan 2024 yang diadakan di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, di sini.

 

Hadir selaku wakil tetamu-tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, selaku wakil Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; dan Setiausaha Tetap (Kesukanan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, selaku wakil Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa oleh Ketua Kampung Bukit Beruang dan Rancangan Perumahan Negara (Asal), Awang Moksin bin Haji Moktar.

 

Sejurus itu, majlis diteruskan dengan Persembahan Pentas iaitu Dodoi Adau Gayoh, Acara Penakod Dulang Pagar, Acara menunda replika kerbau dan nyanyian ramai Adau Gayoh.

 

Atur cara kemudian diteruskan dengan lawatan ke Pameran Statik iaitu Proses penanaman padi, Teknologi Jerat Binatang dan Burung, Demonstrasi menutuk padi dan lain-lain, Jualan Produk 1K1P dan Tamu Ria.

 

Adau Gayoh merupakan sebuah perayaan yang penting dan bermakna kepada masyarakat dusun.

 

Ia bukan sahaja melambangkan rasa syukur terhadap nikmat-nikmat berupa hasil tanaman padi yang dituai, tetapi juga sebagai satu wadah untuk mengeratkan silaturahim kekeluargaan etnik di peringkat mukim dan kampung.

 

Selain itu juga dapat meningkatkan nilai kebersamaan dan jati diri bangsa, memberi pendedahan serta pengetahuan kepada golongan muda di negara ini mengenai warisan budaya dalam kehidupan bermasyarakat.

 

Turut hadir di acara tersebut ialah Tuan-tuan Yang Terutama Perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat; Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara; Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan; Penghulu-penghulu Mukim; Pemangku-pemangku Penghulu Mukim; Ketua-ketua Kampung; dan Pemangku-pemangku Ketua Kampung Daerah Tutong.

 

Close