Bersama memelihara warisan tamadun negara





Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman





 

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 18 Mei. - Dalam usaha untuk mendedahkan mengenai bidang arkeologi terutamanya penemuan bahan artifak berbentuk manik, Jabatan Muzium-Muzium melalui Bahagian Arkeologi dan Monumen mengadakan Pameran Manik : 1000 Tahun bersempena Hari Muzium Antarabangsa 2024.

 

Sehubungan dengan itu, Majlis Pelancaran bagi pameran tersebut diadakan pagi tadi di Muzium Maritim Brunei Darussalam, di sini.

 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya merasmikan majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad.

 

Pemangku Pengarah Muzium, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus selaku pengerusi majlis, antara lain menyentuh tentang pentingnya menjadikan sejarah dan warisan budaya sebagai sumber informasi dalam membangun peradaban manusia yang lebih maju bukan sahaja masa ini tetapi juga pada masa akan datang.

 

Terdahulu dalam ucapan alu-aluannya, Pengiran Haji Rosli menjelaskan, Hari Muzium Antarabangsa diadakan pada setiap 18 Mei di seluruh dunia sebagai salah satu platform untuk mempromosikan peranan muzium dalam pertukaran budaya dan pembangunan.

 

Pada tahun ini tambahnya, tema Hari Muzium Antarabangsa ialah Muzium untuk Pendidikan dan Penyelidikan.

 

Jabatan Muzium-Muzium katanya, mempunyai peranan yang penting dalam memperkasa penyelidikan serta pelestarian bahan- bahan bersejarah tradisi dan warisan budaya bangsa dan negara.

 

Justeru itu menurutnya, Pameran Manik : 1000 Tahun sempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2024 ini merupakan satu wadah bagi menggalakkan penyelidikan dan pendidikan serta bagi memupuk minat, cinta dan menghargai warisan tamadun negara.

 

“Dalam memperkasa penyelidikan dan pendidikan ini, semua pihak yang berkepentingan sama ada dari institusi- institusi pengajian tinggi, agensi-agensi kerajaan atau swasta serta persendirian hendaklah sama-sama berganding bahu ke arah pemeliharaan dan warisan tamadun negara.

 

“Pameran Manik : 1000 Tahun sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2024 ini diadakan memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat dengan lebih dekat temuan koleksi artifak terutama bahan manik dari tapak-tapak Arkeologi di Negara Brunei Darussalam yang berusia lebih daripada 1000 tahun," ujarnya lagi.

 

Melalui pameran ini terangnya, pengunjung juga akan berpeluang untuk memahami artifak manik sebagai salah satu bukti kewujudan awal Brunei dalam menjalin hubungan antarabangsa perdagangan. negara serantau dan melalui hubungan.

 

Tambahnya lagi, adalah dihasratkan pameran ini akan dapat memberikan impak yang positif kepada orang ramai terutama sekali di dalam memupuk minat semua lapisan masyarakat untuk mempertingkatkan lagi penyelidikan serta penyebaran ilmu dalam usaha untuk memelihara warisan tamadun negara.

 

Pameran Manik : 1000 Tahun merupakan kesinambungan daripada Seminar Temuan Arkeologi, Linguistik, Sejarah dan budaya Se-Borneo yang telah diadakan pada 26 hingga 27 November 2013 sempena Pameran Manik Se-Borneo yang melibatkan penyertaan muzium-muzium di Kepulauan Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Kalimantan.

 

Ia ini dibukakan untuk kunjungan orang ramai selama tiga bulan di Muzium Maritim Brunei Darussalam.

 

Manik-manik yang dipamerkan berusia lebih daripada 1,000 tahun yang ditemui di empat tapak utama arkeologi di Negara Brunei Darussalam.

 

Selain itu, pameran tersebut juga akan mengadakan beberapa aktiviti sampingan seperti Siri Arkeologi yang akan disampaikan oleh beberapa ahli sejarah dan arkeologi Brunei, aktiviti Kenali Arkeologi dan aktiviti Meneroka Warisan.

 

Program 'Mettae Belait Kittah' atau Kenali Belait Kita juga akan diadakan di Muzium Daerah Belait pada 30 Mei 2024.

 

Close