Majlis keagamaan semarak bulan Ramadan





Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Azmah Haji Ahad





BERAKAS, Selasa, 2 April. - Sepuluh hari terakhir Ramadan terus disemarakkan dengan acara-acara keagamaan demi merebut keberkatan dan meraih ganjaran pahala berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata'ala.


Sehubungan itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Jabatan Belia dan Sukan tidak ketinggalan mengungkayahkan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran, Majlis Khatam Al-Quran dan Penyampaian Sumbangan Derma Kewangan kepada Anak-anak Yatim Pegawai dan Kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya bagi Tahun 1445H / 2024M bertempat di Dewan Digadong, KKBS, di sini.


Majlis ini diadakan bagi memperingati Nuzul Al-Quran yang merupakan salah satu acara kebesaran Islam yang lazim diraikan di negara ini. Majlis juga diselajurkan dengan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan warga KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya yang telah menamatkan Tadarus yang dijalankan sepanjang bulan Ramadan dan seterusnya penyampaian sumbangan derma kepada anak-anak yatim pegawai dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad. Atur cara majlis didahului dengan Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.


Majlis diteruskan dengan Dikir Marhaban oleh pegawai dan kakitangan KKBS serta bacaan Takhtim dan bacaan Tahlil diketuai oleh i-Ready Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Pembangunan Belia, Awang Muhammad Irfan bin Haji Aliakbar dan Awang Abdul Muazzam Azri bin Zulkifli.


Majlis diserikan lagi dengan Ceramah Nuzul Al-Quran bertajuk, 'Al-Quran Pedomanku' yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Pengiran Haji Reduan bin Pengiran Haji Badaruddin.


Beliau antara lain menggariskan bahawa Al-Quran yang dibaca merupakan satu ibadah dan akan menjadi syafaat buat umat Islam di akhirat kelak. Ramadan pula tambah beliau adalah bulan Al-Quran dan tidak ada keraguan di dalam Al-Quran, walau apa pun cara manusia untuk mengubah Al-Quran pasti tidak akan berjaya.


Jelasnya lagi, mereka yang kurang mahir dalam membaca Al-Quran perlu berusaha untuk belajar Al-Quran kerana Al-Quran itu sendiri adalah ubat bagi hati. Untuk itu, beliau menggesa semua umat Islam agar jangan terlambat untuk mempelajari Al-Quran.


Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma kewangan kepada 22 orang anak-anak yatim pegawai dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.


Bagi memberkati majlis, bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Awang Muhammad Irfan.


Hadir sama ke majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan) KKBS, Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) KKBS, Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Setiausaha Tetap (Kebeliaan) KKBS, Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin; pengarah-pengarah bahagian dan jabatan; pegawai dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.


Close