Ceramah Khas mengimarahkan Nuzul Al-Quran





Oleh : Aimi Sani / Foto : Hernie Suliana Haji Othman





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 2 April. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat mengadakan Majlis Sambutan Memperingati Nuzul Al-Quran bagi Peringkat Kementerian Pendidikan Tahun 1445H / 2024M di Dewan Utama, Bangunan Baharu, Kementerian Pendidikan, hari ini.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Dermasiswa dan Kesejahteraan, Jabatan Pengurusan Biasiswa, Kementerian Pendidikan, Awang Haji Raminey bin Haji Salleh.


Acara kemudian diserikan dengan Ceramah Khas bertajuk 'Al-Quran Pedomanku' yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Muhammad Najib bin Haji Awang.


Majlis tersebut merupakan salah satu aktiviti tahunan Kementerian Pendidikan dalam sama-sama memperingati peristiwa bersejarah berkenaan dengan turunnya ayat-ayat pertama kitab suci Al-Quran Al-Karim kepada Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai wahyu Allah Subhanahu Wata'ala.


Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan para pegawai serta kakitangan Kementerian Pendidikan.


Close