Sambutan Nuzul Al-Quran terus disemarakkan





Oleh : Aimi Sani / Foto : Alishahrin Haji Mumin





BERAKAS, Selasa, 2 April. - Sambutan Nuzul Al-Quran terus disemarakkan oleh pelbagai pihak. Kementerian Kesihatan juga tidak ketinggalan dalam menyemarakkan lagi Sambutan Nuzul Al-Quran 1445 Hijrah dengan mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi para pegawai dan kakitangan di bawahnya yang diadakan di Dewan Al-'Afiah, kementerian berkenaan.


Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut. Majlis bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat dan disusuli dengan bacaan Takhtim beramai-ramai.


Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Takhtim dan Doa Khatam serta laungan Dikir Marhaban. Majlis kemudiannya diikuti dengan penyampaian derma kepada 54 orang anak yatim disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan.


Penerima-penerima derma terdiri daripada warga Kementerian Kesihatan dan jabatan-jabatan di bawahnya. Majlis diakhiri dengan Doa Selamat yang dibacakan oleh Ketua Unit Perkhidmatan Ugama, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Awang Haji Nor Asilin bin Haji Puting.


Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan (Profesional), Dr. Ang Swee Hui;  Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Dayang Siti Ajar binti Haji Yusop; ketua-ketua jabatan berserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan. Majlis merupakan anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan dan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan.



Close