DANA terima sumbangan BND75,381





Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Hernie Suliana Haji Othman





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 2 April. - Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim (DANA) menerima sumbangan keseluruhan berjumlah BND75,381 daripada para dermawan daripada pelbagai pihak, hari ini.


Hadir pada Majlis Penerimaan Sumbangan bagi Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini, ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, yang juga selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA bagi pihak DANA.


Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II mula-mula menerima sumbangan daripada Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (MDPMAMB) yang diwakili oleh Timbalan Pengetua MDPMAMB, Dayangku Zalina binti Pengiran Haji Aliuddin yang menyampaikan sumbangan sebanyak BND1,460. Sumbangan tersebut merupakan 8 peratus kutipan daripada Acara Walkaton yang telah diadakan pada bulan November 2023.


Yang Berhormat kemudian menerima sumbangan daripada Alumni Sultan's Scholar diwakili oleh Naib Yang Dipertua Persatuan Alumni Sultan's Scholars, Dayang Hajah Hafizah binti Dato Paduka Haji Mohd Nor yang menyampaikan sumbangan sebanyak BND1,170.


Diikuti dengan penyampaian sumbangan daripada Persatuan Fu Zhou Shiyyi (Brunei) iaitu seramai 92 orang ahli-ahli yang terdiri daripada syarikat perniagaan dan individu persatuan yang berjumlah keseluruhannya sebanyak BND72,751.


Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak yang juga selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DANA.


DANA sangat menghargai sokongan dan derma daripada para dermawan bagi sama-sama membantu DANA dalam usahanya untuk mempertingkatkan kesejahteraan hidup anak-anak yatim di Negara Brunei Darussalam. Sementara itu, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ialah Sekretariat bagi DANA.

 

Close