Khatam Al-Quran raikan pelajar BIBD ALAF





Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 2 April. - Sebagai menandakan tamatnya pembacaan 30 Juzuk Al-Quran, pelajar-pelajar Program Galakan Pembelajaran Sepanjang Hayat Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD ALAF) diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara.


Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.


Hadir sama, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Profesor Madya Dr. Nasir bin Haji Abdul Rani, yang juga selaku Pengerusi Badan Penasihat Syariah BIBD dan Ahli Badan Penasihat Syariah BIBD. Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri bersama pegawai kanan kerajaan serta pengurusan dan kakitangan BIBD.


Acara majlis didahului dengan Sayyidul Istighfar dan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama diikuti dengan bacaan surah-surah lazim dan Takhtim oleh para pelajar BIBD ALAF dan diikuti dengan Doa Khatam dan Doa Tahlil. Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama seterusnya menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada pelajar-pelajar BIBD ALAF.


Sejak penubuhannya pada tahun 2013, Program BIBD ALAF telah memainkan peranan penting dalam menyediakan bantuan kewangan, sokongan pendidikan, dan bimbingan kepada pelajar daripada golongan sasaran di negara ini.


Inisiatif ini menekankan pembangunan holistik pelajar, merangkumi aktiviti akademik dan kurikulum tambahan yang memupuk kesediaan industri dan nilai-nilai murni yang sejajar dengan Melayu Islam Beraja. Program ini telah menyokong lebih 300 pelajar, menyumbang kepada kemajuan pendidikan dan pembasmian kemiskinan yang ketara di negara ini.


Inisiatif BIBD ALAF mencerminkan komitmen BIBD untuk menyokong pendidikan sepanjang hayat, selaras dengan prinsip Maqasid Al Syariah dan matlamat Wawasan Brunei 2035.


Close