Hengyi bantu ringankan beban menjelang Aidilfitri



​​

Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries Sdn. Bhd.





BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 29 Mac. - Hengyi Industries Sdn. Bhd. (Hengyi) mengadakan beberapa siri sumbangan sempena bulan Ramadan yang mulia dengan menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim dan keluarga yang kurang berkemampuan termasuk penyampaian sumbangan kepada tabung Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-Anak Yatim (DANA) dan penyampaian wakaf kepada Masjid Kampung Perpindahan Serasa.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.


Turut hadir, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr. Xiao Jianguo; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Awang Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, DrDayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ketua Kampung Kapok, Awang Shahminan bin Haji Abdul Rahman; dan Pemangku Ketua Kampung Perpindahan Serasa & Memangku Ketua Kampung Serasa, Awang Abdul Hamid bin Haji Zinin/Haji Zainin.


Acara dimulakan dengan penyampaian sumbangan tahunan dari Hengyi.


Tetamu kehormat majlis seterusnya menyerahkan wang tunai dan barangan makanan berjumlah BND7,800 kepada 13 keluarga kurang berkemampuan dan 13 anak yatim dari Kampung Perpindahan Serasa dan Kampung Muara.


Sumbangan berkenaan bertujuan untuk meringankan beban keluarga dan anak yatim bagi persiapan mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.


Acara kemudian diteruskan dengan penyampaian sumbangan berjumlah BND5,000 yang disumbangkan oleh kakitangan dan syarikat kepada DANA sebagai sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Hengyi di bawah Inisiatif Hengyi Cares.


Sumbangan berkenaan bertujuan untuk menyokong usaha kerajaan untuk menyediakan penjagaan dan kesejahteraan kepada anak-anak yatim di Negara Brunei Darussalam.


Sumbangan telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries, Chen Lian Cai, kepada DrDayang Nor Imtihan.


Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries kemudiannya menyampaikan wakaf berupa tiga unit lampu solar kepada Masjid Kampung Perpindahan Serasa.


Barangan berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif Hengyi Industries untuk memberi kembali kepada masyarakat dan memberi kemudahan kepada jemaah masjid.


Acara diakhiri dengan Majlis Berbuka Puasa bersama keluarga dan anak-anak yatim bersama Hengyi Industries dan tetamu jemputan.

Close