Mesyuarat Agung Tahunan bincang rancangan strategik Pertubuhan WARGAMAS



​​​Berita dan Foto : Marlinawaty Hussin

 





BERAKAS, Ahad, 3 Mac. - Pertubuhan WARGAMAS hari ini mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-5 di Dewan Multaqa, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

 

Hadir selaku tetamu kehormat, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Awang Haji Adanan bin Haji Basar. 

 

Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Di-Pertua (YDP) Pertubuhan WARGAMAS, Awang Haji Abu Bakar bin Haji Mohd. Don, yang juga merangkap Pengerusi Majlis, menjelaskan bahawa perlembagaan Pertubuhan WARGAMAS telah pun dikemas kini dengan membuat beberapa pindaan khusus dan umum terhadap 24 fasal peruntukan yang terdapat dalam perlembagaan berkenaan yang antara lain bertujuan untuk menjadikan perlembagaan pertubuhan berkenaan lebih baik, kemas, teratur serta bermutu tinggi; dan menjaga serta menaik taraf imej Pertubuhan WARGAMAS.

 

Selain itu, ia juga bertujuan untuk memudahkan membuat rancangan strategik yang lebih produktif dan berwawasan bagi menuju Wawasan Brunei 2035 dan mencapai pendekatan Whole of Nation.

 

Menurut beliau lagi, YDP dan pimpinan Jawatankuasa Tadbir Tertinggi (JKTT) akan menangani strategi teras Pertubuhan WARGAMAS, iaitu mengemaskinikan tata kelola tadbir urus JKTT dan JKK, juga mengukuhkan peranan biro-biro, selanjutnya memperluaskan lagi rangkaian kerja strategi dan kolaborasi; meningkatkan pemedulian dan amal jariah; meningkatkan sosioekonomi dan sosiobudaya; selain memanfaatkan teknologi maklumat bagi kecekapan dan pembarigaan organisasi dan aktiviti.

 

“Perlembagaan Pertubuhan WARGAMAS juga akan digunakan sebagai 'check and balance' dalam melaksanakan projek atau program yang memfokuskan agar dapat meneruskan semangat baharu, inisiatif baharu, prestasi dan azam baharu untuk istiqamah berterusan dalam melaksanakan projek dan program Pertubuhan WARGAMAS yang berfaedah dan bermanfaat. 

 

“InsyaaAllah melalui pindaan perlembagaan ini, Pertubuhan WARGAMAS berhasrat untuk mencapai visi dan misi serta memenuhi matlamat strategi dan tujuan penubuhannya sekali gus mengangkat martabat dan menaik taraf imej Pertubuhan WARGAMAS sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terbaik dan penting," katanya.

 

Awang Haji Abu Bakar menambah, Pertubuhan WARGAMAS sebagai sebuah NGO adalah merupakan platform yang mustahak dalam memastikan pembangunan warga emas yang produktif dan sihat dalam sama-sama merealisasikan hasrat pelan tindakan warga emas.

 

“Pertubuhan WARGAMAS akan memberikan sumbangan kepada pencapaian hala tuju pembangunan negara termasuklah bagi mewujudkan perpaduan secara menyeluruh," ujar beliau.

 

Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

 

Mesyuarat berkenaan membincangkan beberapa agenda termasuk Laporan Tahunan AGM 2023, Laporan Tahunan Kewangan 2023, dan pengundian calon bagi jawatan Timbalan YDP 2.


Close