Bantu ringankan beban golongan memerlukan



​​

Berita dan Foto : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin

 





KILANAS, Ahad, 3 Mac. - Seramai 28 ketua keluarga pagi tadi menerima bantuan pada Program Berbagi Rezeki untuk asnaf fakir miskin yang tinggal di Kampung Kilanas anjuran Ahli Jawatankuasa Takmir (AJKT) Masjid Kampung Kilanas, bertempat di Masjid Kampung Kilanas, di sini.

 

Hadir dan seterusnya menyempurnakan penyampaian bantuan berkenaan, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.

 

Acara yang diadakan bersempena dengan ketibaan bulan Ramadan Al-Mubarak 1445 Hijrah bagi Kampung Kilanas berkenaan adalah merupakan aktiviti tahunan dengan AJKT Masjid yang telah sepakat dan bersetuju mengadakannya sebelum umat Islam di Negara Brunei Darussalam menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak.

 

Pada tahun ini, setiap ketua keluarga asnaf fakir dan miskin dari Kampung Kilanas menerima infak berupa barang-barang makanan keperluan dapur (asasi) daripada AJKT Masjid Kampung Kilanas berserta keluarga mereka dan sumbangan para penduduk Kampung Kilanas. 

 

Majlis antara lain bertujuan untuk membantu dan meringankan beban serta tanggungan perbelanjaan para asnaf fakir dan miskin dalam membuat persediaan menyambut kedatangan bulan Ramadan.

 

Selain untuk membuka peluang kepada orang ramai terutama penduduk yang tinggal di Kampung Kilanas dan sekitarnya untuk meraih pahala bersedekah.

 

Juga hadir, Penaung-penaung, Penasihat-penasihat serta AJKT Masjid Kampung Kilanas dan para jemputan khas, asnaf fakir dan miskin serta jemaah masjid, para penduduk Kampung Kilanas dan di sekitarnya.


Close