Walkaton eratkan lagi silaturahim



​​​

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Daerah Brunei dan Muara







MENTIRI, Ahad, 3 Mac. - Penghulu Mukim dan Ketua Kampung (PMKK) Zon 2 dan 3 Jabatan Daerah Brunei dan Muara telah mengadakan Acara Kuliah Subuh dan Walkaton bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-40, Tahun 2024 yang berlangsung di Masjid Hassanal Bolkiah Rancangan Perumahan Negara Kampung Mentiri, di sini. 


Hadir selaku tetamu-tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat dan Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan.


Terdahulu, acara dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah, diikuti dengan Sesi Ceramah Kuliah Subuh yang membawakan tajuk 'Sentiasa berbuat ihsan dengan petunjuk Allah Wata'ala, Tawakal ala Allah' dan disampaikan oleh Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.


Kemudian acara diteruskan dengan senamrobik pagi yang disertai kira-kira seramai 80 peserta dan diikuti dengan Walkaton sejauh 2km. Turut hadir, Pemangku-pemangku Penghulu, Ketua dan Pemangku-pemangku Ketua Kampung Zon 2 dan Zon 3 berserta Ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK), Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dan juga penduduk-penduduk kampung.


Ada pun tujuan acara ini diadakan adalah bagi memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Ke-40, Tahun 2024, selain itu ia juga dihasrat untuk merapatkan lagi hubungan silaturahim di samping mengimarahkan lagi masjid menerusi aktiviti-aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.


Close