Komitmen membangunkan pelajar berkemahiran industri petrokimia



​​

Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries Sendirian Berhad





BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 15 Februari. - Hengyi Industries Sendirian Berhad (Hengyi Industries) telah mengadakan Majlis Menandatangani Biasiswa dengan Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Majlis Menandatangani Tawaran Pekerjaan Bersyarat (CoE) dengan Politeknik Brunei (PB) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) bagi menunjukkan komitmen syarikat berkenaan dalam membangunkan rakyat tempatan dalam kemahiran yang berkaitan dengan industri petrokimia.


Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Hua Ho Manggis Mall ialah Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Dayang Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib. Turut hadir, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr. Xiao Jianguo.


Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan perasmian daripada Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries, Chen Lian Cai. Dalam majlis menandatangani biasiswa tersebut, seramai 20 pelajar UBD telah menandatangani perjanjian yang disaksikan oleh Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle.


Para pelajar mewakili kumpulan ke-11 untuk menerima biasiswa di bawah Program Biasiswa Kejuruteraan Kimia dan Proses Bersama, usaha kerjasama antara Hengyi Industries, UBD dan Universiti Zhejiang (ZJU).


Ini menjadikan jumlah keseluruhan 187 biasiswa yang diberikan kepada pelajar. Sebagai sebahagian daripada biasiswa, pelajar akan menjalani empat tahun pengajian, terdiri daripada dua tahun pengajian akademik dengan UBD, satu setengah tahun pengajian akademik dengan ZJU dan enam bulan amali dengan Hengyi Industries.


Acara diteruskan dengan penyampaian CoE kepada pelajar pengambilan 2022 dari PB dan IBTE di bawah program kerjasama bersama. Seramai 145 pelajar PB dan 35 pelajar IBTE menerima CoE dengan disaksikan oleh, Pemangku Pengarah PB, Lim Kian Boon dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr. Haji Mohd. Zamri bin Haji Sabli.


Program kerjasama bersama ini, yang diwujudkan dengan kerjasama Hengyi Industries, PB, IBTE dan Universiti Teknologi Vokasional Petrokimia Lanzhou (LPUVT), menawarkan pelbagai program kepada pelajar PB dan IBTE.


Program ini terdiri daripada kursus tiga tahun di mana pelajar akan menjalani dua tahun pengajian di institusi masing-masing dan setahun pembelajaran berasaskan industri / latihan sambil kerja dengan Hengyi Industries di Pulau Muara Besar.


Sejak penubuhan program kerjasama bersama, sebanyak 473 CoE telah dianugerahkan kepada pelajar PB dan IBTE. Program biasiswa dan kerjasama bersama adalah sebahagian daripada Hengyi Future-Ready, satu inisiatif yang bertujuan untuk memupuk belia Negara Brunei Darussalam menjadi individu berkemahiran tinggi, membawa negara lebih dekat dengan pencapaian Wawasan Brunei 2035.


Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, Hengyi Industries akan juga menawarkan pelajar di bawah program ini peluang untuk bekerja sepenuh masa di Hengyi Industries setelah berjaya menamatkan pengajian mereka.


Close