Kempen Kebersihan eratkan lagi silaturahim



​Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Hernie Suliana Haji Othman






BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 11 Februari. - Perbuatan yang baik tidak kira apa jua yang dilakukan malah memberikan manfaat kepada semua orang wajar dipraktikkan agar ia menjadi contoh dan ikutan terutama sekali kepada golongan muda untuk meneruskan lagi amalan tersebut yang setentunya berguna kepada masyarakat.


Salah satu contoh iaitu aktiviti memucang-mucang dan bergotong-royong memotong rumput lalang serta membersihkan semak samun secara beramai-ramai merupakan satu amalan yang terpuji dan dipandang baik oleh setiap masyarakat malah aktiviti ini bukan sahaja memberikan satu keselesaan, lantas kawasan tersebut akan terlihat cantik dipandang, selain itu, ia mewujudkan keakraban selain memupuk satu tanggungjawab sosial selaku anak-anak buah kampung.


Pemangku Ketua Kampung Telisai, Awang Mohd. Idris bin Haji Mohd. Taib yang ditemui semasa mengendalikan Kempen Kebersihan membersihkan salah satu kawasan di bawah tadahannya baru-baru ini menyatakan ia sebagai salah satu kegiatan atau aktiviti Majlis Perundingan Kampung dalam memeduli kesejahteraan warga sekeliling.


Dengan adanya kerja sedemikian tambahnya, dapat memupuk silaturahim warga Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Telisai untuk mengekalkan budaya bergotong-royong dalam masyarakat setempat.


Awang Mohd. Idris selanjutnya berharap agar penglibatan warga kampung khususnya di STKRJ itu akan sentiasa memberi kerjasama dan sokongan yang berpanjangan terutama sekali memberikan contoh terbaik kepada anak-anak muda untuk diikuti pada masa akan datang nanti.


Close