Dynamik Technologies anjur DASH 2.0



​​Siaran Akhbar dan Foto : Dynamik Technologies





BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 10 Disember. - Bersempena dengan Festival Disember Brunei, Dynamik Technologies telah menganjurkan Dynamik Amazing Scavenger Hunt (DASH 2.0) yang berlangsung di Taman Permainan Jerudong Park, hari ini.


Seramai 114 peserta mengambil bahagian dalam acara itu, yang bertujuan untuk menggalakkan semua orang menerokai taman dan memupuk semangat kemasyarakatan sambil memulakan usaha mencari 'hidden treasures'.


Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyerahan hadiah kepada pemenang ialah Pemangku Pengarah Kemajuan Pelancongan, Dayang Salinah binti Haji Mohd. Salleh.


Turut hadir bagi memeriahkan Scavenger Hunt tersebut ialah Ketua Perkhidmatan Korporat Dynamik Technologies, Dayang Hajah Siti Rozana binti Dato Paduka Haji Mohd. Yunos.


Semasa Scavenger Hunt, para peserta perlu memulakan permainan dengan berjalan ke 'checkpoints' yang terletak di seluruh taman tersebut, menggunakan platform digital untuk menyerahkan cabaran fizikal dan Trivia sambil mencari benda yang tersembunyi.


Tiga pasukan pertama yang menyelesaikan semua tugasan dan kuiz dalam tempoh masa yang diberikan memenangi Scavenger Hunt dan membawa pulang hadiah wang tunai.


BingQiLin telah dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang BND1,000, manakala tempat kedua dimenangi oleh Kupu Kupu Siang dengan membawa pulang BND750 dan tempat ketiga oleh Gajah Hijau dengan hadiah wang tunai sebanyak BND500.


Hasil daripada yuran pendaftaran telah disumbangkan kepada SMARTER. Pada acara tersebut, tetamu kehormat juga berkesempatan menyaksikan penyerahan 'mock cheque' daripada Dynamik Technologies kepada badan amal SMARTER yang disampaikan oleh Dayang Hajah Siti Rozana kepada Presiden SMARTER, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang dengan jumlah keseluruhan BND 1,560.


Close