Didik warga sekolah cintai kebersihan




Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama






KUALA BELAIT, Rabu, 22 November. - Sekolah Arab Belait (SAB) mengadakan Kempen Kebersihan di sekitar Kawasan Perumahan Barek dan Flat Kerajaan, Jalan Singa Menteri, Kampung Mumong, Kuala Belait, hari ini.


Seramai 142 orang warga SAB bersama para penduduk setempat termasuk Ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Mumong diketuai oleh Pemangku Ketua Kampung Mumong 'A' dan 'B', Awang Haji Md. Yusof bin Haji Dulamin menyertai kempen tersebut.


Kempen Kebersihan tersebut diungkayahkan bertujuan untuk mendidik warga sekolah supaya menjadi lebih berdisiplin dan mencintai kebersihan, keselamatan dan keindahan alam.


Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang amalan kebersihan dan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar, warga sekolah dan masyarakat awam.


Selain sebagai kesinambungan aktiviti bagi program kitar semula sekolah yang telah dilancarkan pada awal tahun lalu, program Kempen Kebersihan tersebut adalah juga merupakan inisiatif pihak sekolah dan penduduk setempat dalam mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) khususnya dalam pengurusan sisa pepejal (SDG 12) dan pemeliharaan persekitaran (SDG11).

Close