Pupuk nilai kerjasama demi pembangunan bersama





Oleh: Khartini Hamir / Foto: Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

 





JERUDONG, Isnin, 20 November. - Bagi meraikan hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dengan Kesultanan Oman dan Hari Kebangsaan Oman Ke-53, Kedutaan Kesultanan Oman di NBD malam tadi menganjurkan majlis resepsi yang berlangsung di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, di sini.

 

Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

 

Atur cara dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua buah negara diikuti dengan bacaan ayat suci Al-Quran.

 

Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke NBD, Puan Yang Terutama Erma Said Mohamed Samhan Al Kathiry yang menyentuh mengenai hubungan di antara kedua-dua buah negara, di mana sejak penubuhan hubungan diplomatik pada tahun 1984, hubungan tersebut berkembang melalui lawatan peringkat tinggi dan perjanjian dalam pelbagai bidang.

 

“Pertukaran budaya menjadi aspek penting dalam hubungan kedua negara, dengan penyertaan tetap dalam pameran buku dan program berorientasikan bahasa Arab. Kedua negara berusaha untuk memperdalam persefahaman melalui biasiswa dan menjemput pelajar untuk meneroka warisan Oman yang kaya," jelas Puan Yang Terutama.

 

Dalam ucapannya juga, PYT menyentuh mengenai kerjasama yang dilaksanakan di antara kedua-dua buah negara, antaranya kerjasama ekonomi yang bertambah baik meliputi pelbagai sektor seperti minyak, gas, kewangan, dan pertanian.

 

Penubuhan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Brunei-Oman pada tahun 2009 katanya, memainkan peranan penting dalam memacu kerjasama ekonomi, menghasilkan usaha sama yang berjaya.

 

Selain itu, kemajuan dalam sektor tenaga dan pertahanan tambahnya adalah stabil, dengan para profesional bertukar kepakaran dan angkatan tentera terlibat dalam kursus dan program pertahanan.

 

“Aspirasi kami melangkaui politik, menyentuh bidang utama seperti industri, pelancongan, teknologi dan alam sekitar,

 

“Kita juga menyaksikan kejayaan Mesyuarat Dua Hala Ke-21 antara kedua-dua Kementerian Hal Ehwal Luar Negara baru-baru ini, dengan perjanjian kukuh untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dalam pelbagai bidang," ujarnya lagi.

 

Justeru pencapaian tersebut terangnya, adalah bukti kepada kepimpinan cemerlang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haitham bin Tarik dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

 

Mengakhiri ucapan, PYT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Brunei Darussalam di atas sokongan dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi, dengan keyakinan berharap dapat menyaksikan pertumbuhan berterusan dan hubungan mesra serta memupuk pembangunan dan kejayaan bagi kedua-dua negara.

 

Sejurus itu, majlis diteruskan dengan pemotongan kek bersempena Hari Kebangsaan Kesultanan Oman oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Muhammad Juanda, PYT Erma Said Mohamed Samhan Al Kathiry berserta duta-duta dari negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta penyampaian tanda penghargaan daripada PYT kepada Menteri Pembangunan.

 

Acara juga turut diserikan dengan beberapa tayangan filem dokumentari seperti 'SEZAD at port of Duqun', 'Oman Across Age Museum', 'Omani Halwa' dan 'Oman Frankincense'.

 

Close