Pikul tanggungjawab tangani kerintangan antimikrob



​​​

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 20 November. - Sambutan Minggu Kesedaran Rintangan Antimikrob Sedunia (WAAW), yang disambut setiap tahun pada bulan November adalah kempen kesedaran sejagat utama untuk menangani kerintangan antimikrob.

 

Tahun ini telah menyaksikan 'rebranding' nama kempen ini, daripada 'Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia' kepada 'Minggu Kesedaran Rintangan Antimikrob Sedunia'.

 

Penambahan perkataan 'rintangan' ini adalah perubahan kecil tetapi sangat ketara yang menyampaikan perkaitan kerintangan antimikrob dan kepentingan meningkatkan kesedaran merentas sektor.

 

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid menyatakan perkara tersebut dalam kenyataan bersama sempena WAAW 2023.

 

Menurut Yang Berhormat Menteri-menteri, tema untuk WAAW 2023 diteruskan sebagai 'Bersama Dalam Mencegah Rintangan Antimikrob', dan selaras dengan ini dan pendekatan One Health, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah menganjurkan pelbagai aktiviti bersama melalui BDAMRC, di tahap skala yang menggalakkan daripada tahun-tahun sebelumnya dan ini termasuk penyertaan Kementerian Kesihatan dalam sambutan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan Ke-13 anjuran KSSUP pada 4 November 2023; Webinar bersama yang dibukakan kepada orang ramai; pelantikan 'Juara AMR' dari Kementerian Kesihatan dan KSSUP; dan kempen media sosial dan penampilan media massa oleh kedua-dua kementerian.

 

Di peringkat komuniti tambah Yang Berhormat Menteri-menteri, orang ramai dan mereka yang terlibat dalam mana-mana kapasiti dalam sektor yang berkaitan di Negara Brunei Darussalam (NBD), boleh memainkan peranan mereka dalam memerangi kerintangan antimikrob melalui beberapa cara termasuk sebarang rawatan antimikrob yang diambil, untuk manusia atau haiwan, masing-masing hendaklah di bawah pengawasan doktor atau doktor haiwan, dan mengikut arahan yang diberikan.

 

Di samping itu, jelas Yang Berhormat Menteri-menteri, elakkan menggunakan ubat antimikrob apabila tiada jangkitan; dan apabila ragu-ragu tentang rawatan jangkitan, untuk bertanya soalan mengenainya.

 

Dalam perutusan bersama tersebut turut menyatakan, peranan orang ramai dengan mengambil peranan aktif dalam kawalan dan pencegahan jangkitan dalam kedua-dua sektor kesihatan manusia dan haiwan termasuk mengelakkan atau hadkan keluar jika mempunyai simptom seperti selesema; mengamalkan kebersihan tangan yang kerap; memastikan kebersihan adalah keutamaan untuk penyediaan dan pengambilan makanan dan air; mendapatkan vaksinasi secara teratur untuk jangkitan tertentu, mengikut keadaan kesihatan masing-masing; dan mematuhi amalan terbaik untuk mengawal dan mencegah jangkitan dalam kesihatan manusia dan haiwan.

 

Yang Berhormat Menteri-menteri seterusnya menekankan, kerintangan antimikrob adalah ancaman kesihatan dan pembangunan sejagat yang kompleks dan kritikal.

 

Tindak balas pelbagai sektor menurut Yang Berhormat Menteri-menteri, yang tepat pada masanya, berterusan, dengan cara kolaboratif dan selaras adalah penting dan NBD telah menyahut cabaran ini dengan menunjukkan komitmen peringkat tinggi dan melalui Pendekatan Satu Kesihatan (One Health Approach).

 

Yang Berhormat Menteri-menteri seterusnya menyarankan agar orang ramai untuk sama-sama memikul tanggungjawab ini dalam melaksanakan peranan masing-masing bagi memelihara keberkesanan antimikrob kita sebagai satu langkah besar ke arah menjamin masa depan yang sihat dan mampan untuk kita semua.

 

Close