Sepakat mengurangkan kemunculan, penyebaran kerintangan antimikrob





Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan

 



- WALAUPUN kerintangan antimikrob dirujuk sebagai pandemik 'senyap', namun hakikatnya penyebaran dan kesan kerintangan antimikrob kerap dirasai dalam kesihatan manusia seperti pesakit yang paling terdedah (vulnerable) dan pekerja kesihatan.


- NEGARA Brunei Darussalam tidak terkecuali, kesan kerintangan antimikrob adalah realiti yang dihadapi setiap hari di hospital dan komuniti di mana terdapat beberapa jangkitan yang menunjukkan ciri rintangan terhadap kebanyakan antibiotik yang lazim digunakan.


- KERINTANGAN antimikrob merupakan halangan terbesar untuk menjalani rawatan dan prosedur perubatan yang kompleks serta merawat pesakit yang paling terdedah, seperti mereka yang menjalani rawatan kemoterapi, pemindahan organ, rawatan rapi dan rawatan jangkitan serius.

- Pelan Tindakan Sejagat Pertubuhan Kesihatan Sedunia terhadap kerintangan antimikrob telah dilancarkan semasa Perhimpunan Kesihatan Sedunia 2015, sebagai komitmen politik peringkat tinggi oleh negara-negara untuk menangani kerintangan antimikrob

 

 

 


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 20 November. - Kesedaran sejagat mengenai Kerintangan Antimikrob (Antimicrobial Resistance - AMR) diserlahkan minggu ini melalui sambutan Minggu Kesedaran Rintangan Antimikrob Sedunia (WAAW), yang mana kempen pada tahun ini bertujuan untuk mengingatkan kita semua tentang isu utama kesihatan global dan cabaran pembangunannya yang merentasi sektor kesihatan manusia, haiwan, pertanian dan alam sekitar.

 

Perkara tersebut dinyatakan dalam perutusan bersama Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid sempena Sambutan Minggu Kesedaran Rintangan Antimikrob Sedunia 2023.

 

Menurut Yang Berhormat Menteri-menteri, kuman secara umumnya boleh didapati pada manusia, haiwan, makanan, tumbuhan dan persekitaran (dalam air, tanah dan udara) dan boleh merebak dari manusia ke manusia ataupun antara manusia dan haiwan atau alam sekitar, termasuk dari sumber makanan berasal dari haiwan, serta boleh muncul dalam organisma yang berbeza.

 

Kerintangan Antimikrob pula jelas Yang Berhormat Menteri-menteri, merupakan fenomena semula jadi yang berlaku apabila kuman seperti bakteria, virus, parasit dan kulat tidak lagi bertindak balas terhadap ubat antimikrob.

 

Pemacu utama pertumbuhan kerintangan antimikrob ini tambah Yang Berhormat Menteri-menteri, adalah disebabkan oleh aktiviti manusia iaitu penyalahgunaan atau penggunaan berlebihan antimikrobial dalam manusia, haiwan dan tumbuhan yang mengakibatkan peningkatan risiko jangkitan sukar atau mustahil untuk dirawat, risiko penyebaran penyakit, risiko menghidap penyakit teruk dan kematian pada skala seluruh dunia.

 

Dalam perutusan bersama tersebut juga menyatakan, walaupun kerintangan antimikrob dirujuk sebagai pandemik 'senyap', namun hakikatnya penyebaran dan kesan kerintangan antimikrob kerap dirasai dalam kesihatan manusia seperti pesakit yang paling terdedah (vulnerable) dan pekerja kesihatan.

 

Pada tahun 2019 ujar Yang Berhormat Menteri-menteri, data global menunjukkan hampir 5 juta kematian dikaitkan dengan kerintangan antimikrob, termasuk 1.27 juta kematian disebabkan secara langsung olehnya, yang mana anggaran ini melebihi kadar kematian global akibat penyakit lain seperti gabungan HIV dan malaria.

 

Yang Berhormat Menteri-menteri seterusnya menambah, Negara Brunei Darussalam (NBD) tidak terkecuali, kesan kerintangan antimikrob adalah realiti yang dihadapi setiap hari di hospital dan komuniti di mana terdapat beberapa jangkitan yang menunjukkan ciri rintangan terhadap kebanyakan antibiotik yang lazim digunakan.

 

Dari sudut perubatan, mengambil kira pembangunan antimikrob baru yang tidak mencukupi dan jangkitan yang lebih mencabar menurut Yang Berhormat Menteri-menteri, kerintangan antimikrob merupakan halangan terbesar untuk menjalani rawatan dan prosedur perubatan yang kompleks serta merawat pesakit yang paling terdedah, seperti mereka yang menjalani rawatan kemoterapi, pemindahan organ, rawatan rapi dan rawatan jangkitan serius, dan kini difahami bahawa kerintangan antimikrob juga wujud di luar sektor kesihatan.

 

Yang Berhormat Menteri-menteri seterusnya menyeru agar semua pihak yang berkepentingan untuk membuat pendekatan kolaboratif bagi mengurangkan kemunculan dan penyebaran kerintangan antimikrob selanjutnya dengan mengenal pasti jurang di dalam sesebuah negara dan seterusnya menerapkan amalan terbaik dalam bidang berkaitan seperti kawalan jangkitan haiwan, tumbuhan dan manusia; pertanian dan pemprosesan makanan; air dan sanitasi; peraturan antimikrob dan yang paling penting, memupuk pendidikan dan kesedaran tentang kerintangan antimikrob.

 

Dalam menjayakan inisiatif ini, Yang Berhormat Menteri-menteri menjelaskan, pada tahun 2015, Pelan Tindakan Sejagat Pertubuhan Kesihatan Sedunia terhadap kerintangan antimikrob telah dilancarkan semasa Perhimpunan Kesihatan Sedunia 2015, sebagai komitmen politik peringkat tinggi oleh negara-negara untuk menangani kerintangan antimikrob.

 

Ini tambah Yang Berhormat Menteri-menteri, diikuti dengan pengesahan GAP oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) dan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) sebagai pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan, dengan itu membentuk perkongsian Tiga Pihak (Tripartite alliance) yang penting untuk pendekatan Satu Kesihatan (One Health Approach) kepada AMR pada tahun 2016.

 

Pada tahun 2022 pula menurut Yang Berhormat Menteri-menteri, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) yang mewakili sektor alam sekitar, menyertai sektor manusia, haiwan dan tumbuhan yang diwakili oleh WHO, WOAH (Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia, sebelum ini dipanggil OIE dan FAO masing-masing, untuk membentuk pakatan Kuadripartit (Quadripartite) untuk meneruskan pendekatan One Health bukan sahaja bagi menangani kerintangan antimikrob, tetapi dengan matlamat yang lebih holistik iaitu untuk mengimbangi dan mengoptimumkan kesihatan manusia, haiwan, ekosistem dan persekitaran yang lebih luas secara mampan.

 

Dalam perutusan bersama tersebut turut menyatakan, NBD telah menyahut seruan sejagat ini untuk bertindak untuk menangani kerintangan antimikrob dengan pembentukan Jawatankuasa Antimicrobial Resistance Brunei Darussalam (BDAMRC) pada tahun 2018.

 

Jawatankuasa dengan pihak berkepentingan pelbagai sektor yang terdiri daripada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan ini terdiri daripada Kumpulan Kerja Teknikal sejajar dengan Pelan Tindakan Sejagat (Global Action Plan - GAP) WHO terhadap kerintangan antimikrob.

 

Pada tahun 2019 pula menurut Yang Berhormat-Yang Berhormat Menteri, NBD telah melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan (National Action Plan-NAP) BDAMRC terhadap kerintangan antimikrob di mana ia menggariskan inisiatif strategik utama yang diperlukan untuk memahami dan mengurus faktor risiko yang berkaitan dengan kerintangan antimikrob, dan untuk membimbing keputusan dasar yang akan menyokong kepada pengurangan kesannya terhadap NBD merentasi sektor yang berkaitan.

 

Pada tahun ini ujar Yang Berhormat Menteri-menteri lagi, BDAMRC telah meraih langkah yang penting dan bermakna, di mana Kementerian Pembangunan telah secara rasmi menyertai BDAMRC selaku pelengkap penuh pihak berkepentingan bagi jawatankuasa ini.

 

Close