250 sertai Larian Pantai




Oleh : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman






TUTONG, Ahad, 19 November. - Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB) Tutong awal pagi ini mengadakan Acara Larian Pantai di Pantai Seri Kenangan, di sini bersempena dengan Sambutan Jubli Perak Perkhidmatan Ke-25 Tahun.


Hadir selaku tetamu kehormat pada acara ini ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri. Turut hadir selaku jemputan khas, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial@Tekpin bin Ya'akub dan Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.


Majlis dimulakan dengan pendaftaran para peserta dan pelepasan Acara Larian Pantai 10 kilometer (km) pada jam 6.45 pagi, diikuti dengan pelepasan peserta Fun Run pada jam 7.00 pagi oleh tetamu kehormat.


Seramai 250 peserta berdaftar akan menyertai larian tersebut yang dibahagikan kepada enam kategori iaitu Lelaki Veteran; Perempuan Veteran; Lelaki Terbuka; Perempuan Terbuka; Remaja Lelaki di bawah 19 tahun dan Remaja Perempuan di bawah 19 tahun. Larian tersebut sejauh 10km dan Fun Run 2.5km.


Antara tujuan acara ini diadakan adalah bagi sama-sama memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan melakukan kegiatan fizikal dan mengamalkan gaya hidup sihat di samping memberikan persaingan sihat di antara para peserta.


Dalam masa yang sama, Hospital PMMPMHAMB, Tutong juga telah mengadakan Acara Perkhemahan Keluarga yang dibukakan kepada warga kerja hospital berkenaan yang telah bermula dari 17 November hingga 19 November 2023 dan juga mengambil tempat di Pantai Seri Kenangan.


Lebih 50 warga kerja hospital berkenaan berserta keluarga mereka menyertai acara tersebut dan ini adalah merupakan kali pertama ia diadakan dan merupakan sebagai satu aktiviti bersempena dengan Sambutan Jubli Perak hospital berkenaan.


Acara ini memberikan pengalaman dan aktiviti luar masa bekerja kepada para peserta selain memupuk semangat berpasukan dan bekerjasama dalam mengendalikan acara kekeluargaan serta berkongsi minat yang sama dari dalam kalangan para peserta perkhemahan.


Close