Pastikan tidak ada kanak-kanak tercicir




Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 20 November. - Hari Kanak-kanak Sedunia diraikan pada 20 November setiap tahun untuk memperingati 'United Nations Convention on the Rights of the Child', dengan setiap kanak-kanak mempunyai hak asasi yang harus dihormati dan dipelihara.

 

Pada tahun ini merupakan kali ke-17 Negara Brunei Darussalam (NBD) dan negara-negara Ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu meraikan Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia (World Children's Day) dengan tema 'Inclusion, For Every Child' iaitu 'Penyertaan, Untuk Setiap Kanak-Kanak'.

 

Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia, Tahun 2023.

 

Menurut Yang Berhormat, tema berkenaan memfokuskan ke arah penglibatan kanak-kanak agar mereka berpeluang melibatkan diri secara aktif dalam setiap aspek kehidupan mereka.

 

Tema berkenaan jelas Yang Berhormat menekankan keperluan untuk memastikan setiap kanak-kanak termasuk kanak-kanak kelainan upaya, tanpa mengira latar belakang, kebolehan atau keadaan adalah diiktiraf, dihargai dan diberi peluang yang sama untuk berkembang maju.

 

Yang Berhormat seterusnya berkata Hari Kanak-kanak Sedunia juga merupakan platform untuk meningkatkan kesedaran tentang cabaran yang dihadapi oleh ramai kanak-kanak, termasuk mereka yang menghadapi kesukaran dalam pelajaran, mereka yang berkelainan upaya, yang hidup dalam kemiskinan, yang terjerat dalam isu-isu sosial dan masalah keluarga.

 

Oleh itu terang Yang Berhormat, semua agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan (NGO), swasta, ibu bapa, guru dan masyarakat akar umbi memainkan peranan yang penting dalam melindungi dan merealisasikan hak yang sama bagi semua kanak-kanak dalam pendidikan, keselamatan dan kesihatan serta memastikan tidak ada kanak-kanak yang tercicir.

 

Yang berhormat juga turut mengongsikan acara utama Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia kali Ke-17 di NBD pada tahun ini ialah 'Forum Voices of Children' yang akan diadakan pada Sabtu, 25 November 2023 di Bangunan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menyuarakan pandangan mengenai hak asasi mereka dan penyertaan mereka demi menggalakkan masyarakat yang lebih inklusif dan saksama.

 

Acara berkenaan kata Yang Berhormat akan dilaksanakan berkonsepkan seperti sesi permesyuaratan MMN khusus bagi para pelajar sekolah termasuk kanak-kanak kelainan upaya, dan akan membincangkan dan membahaskan mengenai empat isu, iaitu kesihatan; pendidikan; social; dan persekitaran.

 

"Selain itu, kita menyambut baik usaha-usaha dalam melindungi dan meningkatkan keselamatan kanak-kanak, khusus bagi menangani isu buli, seperti Program 'Bersama Hentikan Buli' dan Program 'Bantu, Empati, Sayangi, Tanggungjawab (BEST)' yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan.

 

"Tidak lupa juga bagi kanak-kanak yang berkeperluan khas, kita mesti terus membantu untuk menyuntik semangat dan meningkatkan keyakinan diri mereka.

 

"Dalam itu, salah satu inisiatif yang dilaksanakan baru-baru ini adalah Projek BAKAT yang membawa maksud 'Bimbing, Asuh, Kasihi, Anak Teristimewa', iaitu bagi lukisan mural dan penerbitan buku mewarna dan pada masa ini, dianjurkan antara Sekolah Rimba I dan Dewan Bahasa dan Pustaka," kata Yang Berhormat.

 

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan objektif projek berkenaan adalah untuk menonjolkan bakat dan memberikan kesedaran bahawa kanak-kanak istimewa juga mempunyai kemahiran dan berkebolehan dalam bidang seni lukis dan kemahirannya dapat mengangkatnya untuk mampu berdikari pada masa akan datang.

 

Ini ujar Yang Berhormat, juga diharapkan akan menjadi satu ruang untuk semua pihak berkolaborasi dalam menyantuni murid berkeperluan khas.

 

Dengan itu tambah Yang Berhormat, Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia pada tahun ini adalah seruan untuk bertindak bagi semua pihak sama ada penggubal dasar, penguat kuasa, ibu bapa, guru-guru dan masyarakat untuk berusaha ke arah dunia yang lebih inklusif dengan hak setiap kanak-kanak diutamakan, dan mereka diberi peluang untuk mencapai potensi penuh.

 

"Marilah kita pastikan anak-anak kitani hari ini, sempena Hari Kanak-kanak Sedunia ini, dapat merayakan kepelbagaian budaya dan sosial kanak-kanak di seluruh negara serta menggalakkan mereka untuk berimpian tinggi dan mencapai potensi penuh mereka.

 

"Dalam masa yang sama, bagi mengenang keadaan rakyat Palestin di Gaza yang menjadi mangsa serangan rejim Israel sejak 7 Oktober 2023, terutamanya kanak-kanak yang kehilangan hak-hak untuk hidup dengan aman damai, dilindungi bersama keluarga tercinta, dan mendapat akses kesejahteraan hidup seperti bermain, mendapatkan akses pendidikan dan kesihatan yang sepatutnya, Doa Kesyukuran dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2023 pada tahun ini akan disertai dengan Doa Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan umat Islam di Palestin. 

 

"Dengan iringan doa serta seruan bagi seluruh masyarakat untuk memeduli dan menyayangi kanak-kanak kita, sukacita saya mengucapkan 'Selamat Hari Kanak-Kanak Sedunia' kepada seluruh kanak-kanak di NBD," ujar Yang Berhormat mengakhiri perutusannya.

 

Close