Bantu meningkatkan, memperluaskan hasil 1K1P




Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Daerah Belait

 






BELAIT, Ahad, 19 November. – Majlis Perundingan Mukim Bukit Sawat dan Majlis Perundingan Mukim Labi mengadakan Tamu Gayoh dan Riadah Berbasikal yang diadakan di Taman Rekreasi Kampung Sungai Mau, Mukim Bukit Sawat.

 

Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

 

Majlis dimulakan dengan senamrobik dan seterusnya ekspedisi berbasikal dari Taman Rekreasi Kampung Sungai Mau hingga ke Taman Rekreasi Hutan Luagan Lalak dan kembali semula ke Taman Rekreasi Kampung Sungai Mau.

 

Selesai sahaja ekspedisi berbasikal, Yang Berhormat seterusnya melancarkan Tamu Gayoh dan selepas itu melawat gerai-gerai jualan serta pameran yang ada di sana.

 

Antara objektif acara berkenaan ialah bagi membantu meningkatkan dan memperluaskan hasil Satu Kampung Satu Produk (1K1P) di peringkat kampung dan mukim sekali gus menyatupadukan masyarakat di samping mengenali antara satu dengan yang lain, sebagai usaha untuk melahirkan masyarakat sosial yang positif sambil melihat perkembangan mukim dan kampung.

 

Selain itu, memperkenalkan kebudayaan para penduduk yang terdiri daripada tujuh puak jati Brunei yang berbudaya termasuk budaya Cina dan Iban serta melakukan aktiviti-aktiviti yang sihat selain mengambil berat akan kesejahteraan mukim dan kampung serta lapisan masyarakat.

 

Hadir sama pada acara berkenaan ialah Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Kementerian Pembangunan, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap KHEDN, para pegawai kanan dan ketua-ketua jabatan di bawah KHEDN, Pemangku Pegawai Daerah Belait, ketua-ketua jabatan dan cawangan jabatan kerajaan di Daerah Belait dan Penghulu-penghulu Mukim serta Ketua-ketua Kampung.


Close