Platform lengkapkan peserta dengan pengetahuan pertolongan cemas, CPR




Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi




 

TEMBURONG, Ahad, 19 November. - Kementerian Kesihatan mengenal pasti kepentingan Latihan Pertolongan Cemas (First Aid Training) dan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) dan oleh itu kursus-kursus latihan seperti berkenaan giat aktif dijalankan oleh tenaga pengajar di bawah Jawatankuasa Latihan Kementerian Kesihatan, yang berkelayakan dan bertauliah untuk memberi latihan kemahiran melalui pemudahcaraan (facilitation) dan penyelarasan (coordination) oleh Unit Perkembangan dan Pemantauan Resusitasi (RDMU).

 

Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan pagi tadi mengadakan Majlis Penyampaian Sijil bagi para peserta Latihan Pertolongan Cemas dan CPR yang berlangsung di Rumah Panjang Kampung Amo 'B' dan Rumah Panjang Kampung Semabat, Daerah Temburong, di sini.

 

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

 

Yang Berhormat juga turut menyampaikan Beg Pertolongan Cemas (First Aid Bag), alat Automated External Defibrillator (AED) serta risalah-risalah kesihatan kepada Ketua Kampung Amo, Awang Hujan anak Muit dan Pemangku Ketua Kampung Lepong Baru, Awang Ambol anak Bakit.

 

Yang Berhormat Menteri Kesihatan dalam ucapannya pada majlis berkenaan menjelaskan Latihan Pertolongan Cemas dan CPR merupakan satu latihan asas yang sangat berguna dan tinggi manfaatnya yang perlu diterapkan dan diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.

 

Tambah Yang Berhormat lagi, latihan seperti berkenaan boleh meningkatkan kemahiran serta keyakinan orang awam untuk memberikan pertolongan cemas yang betul dan berkesan kepada mereka yang memerlukan.

 

Yang Berhormat serta rombongan turut membuat lawatan kerja di Rumah Panjang Kampung Amo 'B' dan Rumah Panjang Kampung Semabat.

 

Pada penghujung lawatan berkenaan, para penduduk kampung yang menyertai Latihan Pertolongan Cemas dan CPR turut menunjukkan apa yang telah mereka pelajari dalam satu siri demonstrasi mengenai prosedur-prosedur CPR dan bantuan pertolongan cemas.

 

Kementerian Kesihatan melaksanakan beberapa aktiviti Community Outreach sebagai salah satu kaedah untuk menyampaikan kesedaran tentang kepentingan memiliki pengetahuan dan kemahiran dalam pertolongan cemas dan CPR khususnya bagi penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman terutama bagi perkhidmatan kecemasan yang tidak dapat dicapai dengan segera.

 

Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan telah menganjurkan Latihan pertolongan cemas dan CPR di Daerah Belait iaitu di Mukim Melilas dan Mukim Sukang pada 2019 dengan jumlah peserta seramai 58 orang dan seterusnya pada 2020 di Mukim Bukit Sawat dan Mukim Labi dengan keramaian 52 peserta telah dilatih dalam pertolongan cemas dan CPR.

 

Pada tahun ini, aktiviti Community Outreach diadakan di Daerah Temburong iaitu bagi para penghuni Rumah Panjang Kampung Amo dan Kampung Semabat.

 

Pada 12 November 2023 lalu, sejumlah 40 peserta yang terdiri daripada para penghuni Rumah Panjang Kampung Amo (17 peserta) dan Rumah Panjang Kampung Semabat (23 peserta) daripada kawasan pedalaman Temburong, mengikuti Latihan Pertolongan Cemas dan CPR.

 

Latihan berkenaan bertujuan untuk melengkapkan para peserta dengan pengetahuan penting dan kemahiran pertolongan cemas (First Aid) dan CPR bagi menyelamatkan nyawa jika berlakunya kecemasan.

 

Latihan berkenaan dijalankan di Dewan Kemasyarakatan Belalong di Daerah Temburong dan dianjurkan oleh Jawatankuasa Kursus Latihan di bawah National Resuscitation Board, Kementerian Kesihatan.

 

Latihan berkenaan dikendalikan oleh 17 tenaga pengajar daripada Kementerian Kesihatan, dan diketuai oleh Jururawat Tingkat Khas, Dayang Noryawati binti Salleh selaku Pengurus RDMU.

 

Juga hadir, Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr. Ang Swee Hui; serta ketua-ketua jabatan, para pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

 

Close