Oleh : Aimi Sani / Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 19 November. - Bagi memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2023, Acara Malam Munajat Kali Ke-112 dianjurkan baru-baru ini oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi kelolaan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) bertempat di Masjid Ash-Shaliheen.
Tumpuan utama acara Malam Munajat kali ini dihadiri oleh tetamu khas iaitu Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha yang juga selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya.
Turut hadir semasa Malam Munajat tersebut, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Majlis Perhimpunan Malam Munajat tersebut dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai yang dipimpin oleh Penolong Pengarah Pusat Penyelidikan dan Penerbitan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Muhammad Faishal An-Nawawi bin Haji Saban yang juga selaku Ahli Persatuan Motorsikal Darussalam (PEMODA).
Seterusnya bacaan Doa Munajat oleh Pengarah Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), KHEU, Dr. Haji Sham bin Haji Amin.
Acara Malam Munajat diserikan lagi dengan tazkirah disampaikan oleh Ketua Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama, KHEU, Awang Haji Saharuddin bin Haji Patra.
Antara inti pati tazkirahnya ialah beliau mengingatkan supaya menjadikan jalan raya sebagai penghubung destinasi yang selamat dan peri pentingnya membaca zikir dan doa sebelum membuat perjalanan dan ketika hendak memandu iaitu sebagai usaha, benteng 'hisnun' dan mengharap pertolongan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Dalam pada itu juga, menghindari punca-punca kemalangan adalah menepati Maqasid Al-Syariah yang mengajurkan pemeliharan terhadap nyawa dan harta benda. Bahkan bertepatan dengan kaedah 'feqiyah' dalam erti kata, kemudaratan itu mestilah dihilangkan dan dielakkan.
Sejurus selesai tazkirah, bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Awang Haji Mohd Ashraf bin Haji Bujang bersama para pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Bagi memberkati Acara Malam Munajat, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Ash-Shaliheen, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Haji Mohd. Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.
Penyertaan Ahli Jawatankuasa Takmir dan jemaah daripada 80 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat di seluruh negara juga telah sama-sama menyemarakkan lagi Malam Munajat. Di samping menghadiri secara fizikal, orang ramai juga mengikuti secara maya dengan melayari pautan 'http://tiny.cc/munajatkheu' atau 'http://www.facebook.com/pdi.kheu'.