Memacu pembangunan sektor petrokimia





Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Ak Mohd Aminol Adi Azraie Pg Haji Nikman

 





JERUDONG, Rabu, 8 November. - Pihak Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam dan pihak Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) hari ini menandatangani Perjanjian Perlaksanaan bagi Projek Kemajuan Pulau Muara Besar (PMB) Fasa Kedua, bersama pihak Syarikat Hengyi Industries Sdn. Bhd. (Syarikat Hengyi).

 

Penandatanganan tersebut diadakan petang tadi di The Empire Brunei, di sini.

 

Hadir selaku tetamu-tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Kemajuan PMB; dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pandu Pelaburan Langsung Asing dan Industri Hiliran; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Kemajuan PMB dan Pengerusi Zhejiang Hengyi Group Co. Ltd dan Pengerusi Syarikat Hengyi, Mr. Qiu Jianlin.

 

Penandatanganan Perjanjian Perlaksanaan Fasa Kedua ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha-usaha dan komitmen berterusan Negara Brunei Darussalam (NBD) untuk memperkembangkan sektor hiliran minyak dan gas di negara ini, ke arah mendokong dan merealisasikan Wawasan 2035 dan Economic Blueprint NBD.

 

Ia juga menandakan kerjasama erat di antara NBD dan Republik Rakyat China untuk mempelbagaikan ekonomi negara ini terutama sekali dalam memacu pembangunan sektor petrokimia, menjana peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung untuk anak-anak tempatan, mengadakan peluang-peluang perniagaan bagi syarikat-syarikat perkhidmatan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana tempatan, serta berperanan sebagai pemangkin bagi pembangunan sektor hiliran minyak dan gas, iaitu salah satu daripada lima sektor keutamaan di dalam Economic Blueprint NBD.

 

Setelah loji penapis minyak dan petrokimia di PMB yang bernilai USD3.45 bilion mula beroperasi pada tahun 2019, Syarikat Hengyi menerusi penandatanganan Perjanjian Perlaksanaan Fasa Kedua tersebut akan meningkatkan kapasiti penapisannya sebanyak 2 Juta Tan Metrik Setahun membawa jumlah keseluruhan kepada sebanyak 11 Juta Tan Metrik Setahun, melalui pembangunan fasiliti-fasiliti baharu di PMB.

 

Projek Fasa Kedua itu akan mengintegrasikan lagi kemudahan penapisan yang sedia ada dengan fasiliti petrokimia yang baru, termasuk pengenalan sumber bahan mentah (feedstock) yang baharu seperti LNG dan Ethane.

 

Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Kemajuan PMB semasa majlis itu dalam ucapan alu-aluannya mengongsikan bahawa fasa kedua tersebut akan membolehkan NBD mengeluarkan 'high value derivate petrochemicals' yang pertama di negara ini dan meletakkan kedudukan PMB sebagai asas bagi pembangunan hiliran berasaskan minyak dan menarik pelaburan-pelaburan asing, sekali gus memartabatkan NBD sebagai pesaing utama di dalam sektor petrokimia serantau.

 

Dengan perlaksanaan projek Fasa Kedua berkenaan, ia tambahnya, dijangka akan menjana lebih dari 2,000 peluang pekerjaan dan 50 peratus daripada peluang pekerjaan akan diperuntukkan bagi anak tempatan dari permulaan fasa operasi menjelang tahun 2029.

 

Mewakili pihak Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam bagi penandatanganan perjanjian perlaksanaan berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, Dayang Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib; dan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, IR. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria.

 

Manakala, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, BEDB, Awang Daniel Leong menandatangani bagi pihak BEDB, dan Syarikat Hengyi pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mr. Chen Lian Cai.

 

Penandatanganan perjanjian tersebut turut disaksikan oleh Pemangku Pengarah Urusan, Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam, Awang Haji Kula bin Haji Metasan; Penolong Ketua Pegawai Eksekutif BEDB, Awang Abdurrahman bin Abdul Aziz dan Setiausaha Syarikat dan Pengarah Pentadbiran, Syarikat Hengyi, Mr. Li Peng.

 

Penandatanganan Perjanjian Perlaksanaan Fasa Kedua tersebut diselajurkan dengan menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Zhejiang University. UBD diwakili oleh Dekan Fakulti Teknologi Bersepadu, Dr. Juliana binti Haji Zaini dan Dekan Kolej Kejuruteraan Kimia dan Biologi, Profesor Youqing Shen, mewakili Zhejiang University.

 

Penandatanganan MoU tersebut turut disaksikan oleh Naib Canselor UBD dan Pengerusi Majlis Zhejiang University.

 

MoU tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam menyediakan program biasiswa untuk terus memperlengkapkan anak-anak tempatan dengan kemahiran tertentu melalui pendedahan industri di Republik Rakyat China, diikuti dengan latihan penempatan industri dan seterusnya berkhidmat di Syarikat Hengyi di Negara Brunei Darussalam.

 

Turut hadir ialah Ahli-ahli Jawatankuasa Pandu Kemajuan PMB.


Close