Nilai kesediaan, keberkesanan keupayaan tindak balas kecemasan Hengyi Industries





Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman, Ihsan Hengyi Industries.

 





MUARA, Khamis, 2 November. - Latihan Industri Tindak Balas Kecemasan Keselamatan Tahap 3 yang melibatkan pelbagai agensi berkepentingan telah diadakan di Pulau Muara Besar, di sini

 

Latihan yang dikenali sebagai Latihan Naga-7 berkenaan adalah latihan susulan daripada Latihan 'Table Top Tindak Balas Kecemasan Keselamatan Tahap 3 Hengyi Industries' yang diadakan pada Januari 2021.

 

Objektif utama latihan ini adalah bagi menilai kesediaan dan keberkesanan keupayaan tindak balas kecemasan Hengyi Industries selaras dengan piawaian antarabangsa.

 

Latihan tersebut bertindak sebagai penilaian praktikal untuk menilai kebolehoperasian antara Hengyi Industries, Pusat Pengurusan Bencana Negara (NDMC) dan pelbagai agensi kerajaan dalam menguruskan insiden kecemasan besar.

 

Latihan itu dijalankan dalam tempoh tiga jam, bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir pada pukul 12 tengah hari.

 

Senario latihan kecemasan itu melibatkan simulasi kebocoran gas, yang disebabkan oleh saluran paip pecah di Unit Kompleks Aromatik, yang mensimulasikan kecederaan kepada kakitangan di lokasi.

 

Dalam latihan itu, barisan pertama responden kecemasan, Hengyi Industries' On Scene Commander Team (OSCT), Emergency Coordination Team (ECT) dan Crisis Management Team (CMT), telah diaktifkan untuk melakukan pemindahan dengan penempatan responden kecemasan berskala penuh daripada pelbagai agensi.

 

Kira-kira 200 kakitangan daripada 15 agensi terlibat dalam latihan itu, termasuk peserta-peserta yang mewakili daripada Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Autoriti Petroleum Brunei Darussalam; NDMC; Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA); Jabatan Bomba dan Penyelamat; Perkhidmatan Kecemasan Ambulans Perubatan (EMAS); Pasukan Polis Diraja Brunei; Jabatan Daerah Brunei dan Muara; Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi; Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Negara Brunei Darussalam (MPABD); Radio Televisyen Brunei; Jabatan Penerangan; Darussalam Enterprise (DARE); dan Damai Holdings Limited.

 

Hadir bagi menyaksikan latihan tersebut ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Azmi bin Haji Mohd Hanifah; Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Salminan bin Haji Burut; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra.


Close