Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Hamzah Mohidin
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 27 September. - Majlis Dikir 12 Malam Berturut-turut bagi Masjid-masjid, Surau-surau dan Balai-balai Ibadat Seluruh Negara sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Tahun 1445 Hijrah/2023 Masihi yang diadakan bersempena memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, bermula pada 1 Rabiulawal lalu telah berakhir malam tadi.
Di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara, hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Datin.
Majlis yang penuh rahmat dan berkat itu diadakan sebagai salah satu syiar Islam untuk memakmurkan masjid, selain memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Ia juga bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan jabatan-jabatan di bawahnya dengan jemaah masjid dan penduduk kampung di sekitarnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, dan Datin; Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat; Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama, Dr Haji Adanan bin Haji Basar; dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh.
Majlis Penutup Dikir malam tadi dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan tazkirah bertajuk 'Rasulullah Diutus Sebagai Pembawa Rahmatan Lil 'Alamiin' yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Penolong Ketua Bahagian Penyebaran Dakwah (Ceramah), Pusat Da'wah Islamiah, KHEU, Awang Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa.
Majlis diteruskan dengan Dikir Assalamualaika dibawakan oleh para pegawai dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Omar 'Ali Saifuddien, disusuli dengan Dikir Khairuman Nandung yang dibawakan oleh Pasukan Dikir Lelaki, Persatuan BASMIDA.
Manakala Dikir Bishahrin Udana Laila dibawakan oleh Pasukan Dikir Kampung Subok dan Belimbing, diteruskan dengan Dikir Al-Hamd Tumbuk Sukung dibawakan oleh Pasukan Dikir Persatuan Perangkap Kampung Burung Pingai, Berakas.
Sementara Dikir Badat dibawakan oleh Pasukan Dikir Persatuan ZAIDANA Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Tungku, Gadong dan kemudiannya Dikir Asyaraqal dibawakan oleh Pasukan Dikir Jabatan Pengajian Islam, KHEU.
Bagi memberkati Majlis, Doa Dikir dibacakan oleh Pegawai Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Begawan Mudim Awang Haji Amran bin Haji Mohd Salleh.
Manakala, bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Pegawai Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Emran bin Haji Kunchang.