Keberangkatan Tidak Berjadual ke KHEU



​​


Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Muhammad Asri Haji Awang Abas, Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

 





BERAKAS, Rabu, 27 September. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pagi tadi berkenan mengadakan Keberangkatan Tidak Berjadual ke Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), di sini.

 

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh; dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

 

Lawatan dimulakan dengan sembah alu-aluan yang disembahkan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, diikuti dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan mengurniakan titah.

 

Semasa lawatan itu, baginda berkenan meninjau dengan lebih dekat beberapa jabatan dan bahagian di bawah kementerian tersebut antaranya Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal.

 

Jabatan ini antara lain bermatlamat bagi memastikan pengurusan wang zakat termasuk kutipan dan pengagihannya dilaksanakan secara teratur dan efisien, selain memastikan pelaksanaan program-program dan inisiatif-inisiatif bagi memperkasa keupayaan asnaf adalah secara terancang dan berkesan.

 

Di samping itu, ia turut bermatlamat memastikan keberkesanan pengurusan dan inisiatif-inisiatif mengembang majukan harta-harta wakaf dan baitulmal bagi menjaga kemaslahatan golongan-golongan sasaran, meningkatkan sosioekonomi umat Islam dan menyumbang kepada memperkukuh fiskal negara.

 

Sebelum mengakhiri lawatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berangkat melawat ke Jabatan Majlis Ugama Islam, di Bangunan Baharu KHEU.

 

KHEU berperanan sebagai peneraju perkhidmatan ugama dan bertanggungjawab dalam semua hal yang berkaitan dengan agama Islam, di samping berperanan merancang, melaksana, menilai program dan aktiviti demi kepentingan agama Islam di negara ini dengan visi, bersama ke arah kehidupan cemerlang duniawi dan ukhrawi.

 

Manakala, misi kementerian berkenaan pula memperkasa penghayatan berugama dan memartabatkan kerasmiannya berdasarkan hukum syarak, Perlembagaan, Undang-Undang dan Falsafah Negara Melayu Islam Beraja.

 

06 (9).jpg


07 (6).jpg


08 (5).jpg


09 (3).jpg


10 (3).jpg


11 (3).jpg


12 (3).jpg




Close