Kaji dasar penghantaran penuntut ke luar negeri



​​

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Muhammad Asri Haji Awang Abas





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 27 September. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa bertitah mempersoalkan mengenai dasar iaitu adakah Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam perkara menghantar penuntut-penuntut ke luar negeri sudah mempunyai dasar yang dipegang.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam timbulkan perkara itu kerana ada kemusykilan iaitu dalam pada sekian ramai penuntut yang layak ke Mesir tetapi cuma tiga orang sahaja mendapat biasiswa, sementara selebihnya, seramai 60 orang belajar persendirian atau dengan mendapat kemudahan Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan (SBPP).


Bertitah semasa siri Keberangkatan Tidak Berjadual ke Kementerian Hal Ehwal Ugama hari ini, baginda ingin tahu mengapakah cuma tiga orang sahaja yang dipilih untuk mendapat biasiswa. Apakah kriteria yang dipakai? Adakah pangkat Mumtaz cemerlang sahaja yang diberi peluang, sementara pangkat berikut seperti Jayyid Jiddan sangat baik tidak diberi peluang.


“Pada hemat beta, perkara ini ada baiknya dikaji lagi, jika benar kita mengambil berat survival ugama di masa hadapan," tegas baginda.


Selain itu, dari tiga orang yang dipilih untuk mendapat biasiswa, hanya dua orang sahaja dihadirkan ke Al-Azhar, Mesir sementara seorang lagi ke tempat lain untuk mengikuti pengajian Sarjana Muda Fiqh dan Usul.


“Soalan beta, mengapakah tempat lain, walaupun tempat lain itu sudah diiktiraf namun ia mungkin hanya sesuai untuk pengajian ijazah lanjutan bukannya untuk 'fresher' penuntut-penuntut yang baru menagih ijazah kerana mereka ini belum lagi mempunyai pengalaman dan asas yang kukuh untuk mempertahankan diri dan akidah," soal baginda lagi.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menambah, sekiranya di tempat lain itu, terdapat berbagai aliran yang tidak terkecuali wujud dalam pusat-pusat pengajian. Tidak patut penuntut baharu akan boleh sahaja terbawa-bawa menjadi penganut atau pengikut kepada aliran-aliran yang bertentangan dengan aliran Ahli Sunah Waljamaah.


Baginda menekankan, nampak Kementerian Hal Ehwal Ugama dan mungkin juga Kementerian Pendidikan belum lagi berfikir untuk memiliki dasar yang tegas dengan baginda sendiri cenderung untuk menamakan sebagai dasar penyelamat bagi modal insan dan akidah.


Oleh kerana belum ada dasar itulah, tegas baginda lagi, maka kementerian-kementerian ini, dilihat sebagai bersikap sangat terbuka, tiada halangan bagi penuntut-penuntut memilih sendiri tempat yang mereka sukai, berbeza jika kita sudah ada dasar tentu sahaja kita akan melihat dahulu mana-mana yang terkeluar dari dasar, tidak akan digunakan demi untuk memelihara kemaslahatan.


Close