Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Muhammad Asri Haji Awang Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 27 September. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa bertitah menyatakan mengenai sukatan dan mata-mata pelajaran dan seterusnya mendapati ada beberapa perkara yang perlu dilihat semula.
Dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa siri Keberangkatan Tidak Berjadual ke Kementerian Hal Ehwal Ugama hari ini, baginda mencadangkan nama mata pelajaran Tarikh supaya ditukar jadi Tarikh Islam dan mata pelajaran itu juga patut dijadikan subjek wajib.
Kemudian mata pelajaran Tasawuf, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah meminta untuk ditimbangkan kesesuaiannya kerana istilah Tasawuf itu boleh mendatangkan masalah di mana murid-murid dalam lingkungan umur 10 hingga 13 tahun sukar untuk memahaminya.
“Apabila meneliti mata-mata pelajaran di bawah tajuk Tasawuf bagi Darjah-darjah IV, V dan VI telah didapati semuanya berunsur akhlak seperti sifat dengki atau hasad, sifat bakhil atau kedekut, sifat taat, sabar, tawakal dan lain-lain.
“Jadi kalau begitu, mengapa mata pelajaran yang namanya Tasawuf itu tidak ditukar sahaja kepada mata pelajaran akhlak kerana perkataan akhlak dapat difahami oleh semua orang termasuk kanak-kanak tetapi buku Darjah IV sekarang masih sahaja mengekalkan nama Tasawuf itu mengapa?" soal baginda.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga telah mempertikai beberapa istilah yang digunakan di dalam buku pelajaran Darjah IV, V dan VI seperti istilah maksiat batin dan taat batin. Istilah-istilah ini mungkin lebih berkenaan dengan pengamal-pengamal Tasawuf atau tarikat bukannya kanak-kanak sekolah.
Oleh itu, baginda melihat, elok digunakan kalimat-kalimat maksiat dan taat sahaja tanpa menyambungnya dengan kalimat batin tetapi ia masih sahaja kekal dijumpai pada buku-buku pelajaran Darjah IV, V dan VI sedang isu telah berbangkit sejak tahun 2020 lagi.
Tambahnya, satu lagi menjadi persoalan ialah dalam Darjah VI, ada diajarkan mata pelajaran Faraid, ilmu untuk membahagi harta pusaka, ilmu ini diakui susah kerana itu kanak-kanak dianggap belum sesuai untuk mempelajarinya.
“Jika dipaksa juga untuk belajar, maka akan berlakulah pelbagai konflik seperti kanak-kanak tidak menyukai mata pelajaran atau juga tidak suka kepada guru yang mengajar atau lebih jauh lagi tidak mahu ke sekolah semata-mata untuk mengelakkan diri dari mata pelajaran itu.
“Ini bukan andaian lagi tetapi sudah benar-benar menjadi kenyataan, di mana ramai para ibu bapa bersungut mengenainya. Maka oleh itu, eloklah pihak kementerian membuat kajian semula mengenai perkara itu," tegas Kebawah DYMM lagi.