Faktor psikologi jaminan kesempurnaan pembelajaran





Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Muhammad Asri Haji Awang Abas





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 27 September. - Perkara cara mengajar dan tenaga pengajar, kedua-duanya memerlukan khusus yang namanya psikologi terutama bagi murid-murid atau penuntut-penuntut di bawah umur. Tanpa faktor psikologi, pembelajaran tidak akan dijamin sempurna.


Maka sehubungan itu, beta ingin bertanya adakah guru-guru yang ditugaskan mengajar di sekolah-sekolah ugama telah dibekalkan dengan psikologi? Pada biasanya ilmu ini hanya akan didapat dengan jalan mengikuti Program Diploma Pendidikan sahaja.


Perkara ini beta timbulkan kerana mata-mata pelajaran ugama bukannya mudah, nisbah bagi kanak-kanak, ia memerlukan watak guru yang pandai memainkan peranan seperti tidak terlalu keras dan bukan pula lembik. Yang makanya, seorang guru itu sangat mustahak untuk akses menguasai psikologi.


Perkara tersebut ditekankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa bertitah pada siri Keberangkatan Tidak Berjadual baginda ke Bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama, di sini.


“Beta kurang selesa manakala mendengar setengah ibu bapa bersungut anak-anak mereka tidak gembira belajar di sekolah ugama. Mengapa tidak gembira kerana setengah guru dikatakan sangat keras, bersikap suka memaksa. Jika ini benar, nyatalah guru seperti itu telah mengabaikan faktor psikologi," persoal Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


Terdahulu, dalam titah baginda menjelaskan, Kementerian Hal Ehwal Ugama adalah berperanan untuk mengelinga pendidikan ugama khasnya dalam perkara penyediaan dasar dan sistem yang betul sebagai pendidikan ugama telah kita daulatkan sebagai wajib untuk dipelajari bermula dari Darjah I hingga ke VI.


Oleh itu, adalah wajar untuk ia disampaikan dengan cara yang menepati kaedah-kaedah pembelajaran. Kaedah-kaedah pembelajaran itu termasuk cara-cara mengajar, tenaga pengajar guru dan mata-mata pelajaran yang diajar. Semua ini sangat mustahak untuk dikenal pasti sebagai bersesuaian dan sempurna dilaksanakan.


Close