Keluarga bahagia asas pembangunan negara





Oleh : Muhammad Khairulanwar Ali Rahman / Foto : Hamzah Mohidin

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 27 September. - Meskipun Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sudah tiada, namun Baginda meninggalkan pesanan-pesanan untuk dihayati dan ditaati.

 

Jika semua ini dilakukan, pasti akan mengundang keberkahan, bukan sahaja untuk diri sendiri malahan juga untuk keluarga, masyarakat dan negara.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian dalam Titah Perutusan sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1445H / 2023M.

 

Bercakap mengenai keluarga, titah baginda, bermakna kita merujuk kepada satu kelompok penting dalam masyarakat dan sesungguhnya keluarga bahagia menjadi asas dan matlamat pembangunan negara.

 

“Manakala keluarga bahagia, itulah jaminan untuk mendapatkan warisan insan yang berkualiti lagi beriman," titah baginda.

 

Kerana itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, memastikan setiap institusi keluarga berkeadaan sempurna lagi bahagia adalah tanggungjawab semua.

 

Walaupun ramai yang berpuas hati menganggap keluarga masing-masing adalah baik-baik sahaja, titah baginda, namun kita juga masih patut bimbang kerana masih berlaku permasalahan rumah tangga di dalam masyarakat kita di negara ini.

 

“Beta difahamkan statistik jumlah aduan rumah tangga secara keseluruhan yang dilaporkan ke Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi tiga tahun kebelakangan ini (antara tahun 2020 hingga 2022) adalah berjumlah 1,952 kes.

 

Manakala jumlah aduan yang diterima antara bulan Januari hingga bulan Jun tahun ini sahaja berjumlah 384 kes," titah baginda.

 

Kebawah DYMM dalam titahnya berpendapat, jumlah kes aduan yang semakin meningkat ini tidak boleh dipandang ringan, melainkan memerlukan usaha mengatasinya.

 

Maka ke arah itu, baginda mengambil maklum, pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama telah melaksanakan pelbagai kaedah dan pendekatan bagi menangani perkara ini dengan mengadakan perkhidmatan Kursus Pra-Nikah bagi pasangan yang akan bernikah, Seminar Kekeluargaan dan Kursus Pasca Perkahwinan bagi pasangan yang sudah bernikah yang dilaksanakan dengan kerjasama agensi-agensi berkepentingan.

 

Bukan itu sahaja, titah baginda, bermula tahun 2014, taklimat berkaitan kekeluargaan sudah dilaksanakan kepada institusi-institusi pengajian kerajaan dan swasta. Namun, sehingga kini aduan isu permasalahan rumah tangga masih saja terus meningkat pada setiap tahun.

 

“Beta berpandangan, pihak-pihak yang berkenaan perlulah lebih proaktif mengambil inisiatif menangani isu-isu permasalahan rumah tangga, dengan menanam kesedaran awal akan akibat yang sangat buruk jika ianya tidak ditangani segera.

 

“Ia boleh menjejaskan bukan sahaja keharmonian keluarga, malah juga boleh menjejaskan kesejahteraan negara," tegas baginda.

 

Dalam titah baginda, para ibu bapa mesti terus memainkan peranan mengasuh dan mendidik anak-anak, termasuk ke atas mereka yang akan dan sudah mendirikan rumah tangga, masih sahaja perlu ditegur atau diingatkan bagaimana menjaga atau memelihara keutuhan keluarga yang dibina.

 

Kerana nasihat atau peringatan daripada ibu bapa itu, titah baginda, adalah sangat besar pengaruhnya, di samping mempunyai keberkatan tersendiri.

 

Terdahulu, dalam titah baginda bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat lagi menyambut dan memperingati Maulud Nabi, Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pada tahun ini.

 

Sudah menjadi tradisi kita, titah baginda, bulan Rabiulawal dimeriahkan dengan selawat dan puji-pujian kepada Nabi kita, Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di dalam majlis-majlis keugamaan, seperti di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat.

 

Semuanya itu, titah baginda, tidak lain dari menzahirkan kecintaan kita kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

 

Namun, Kebawah DYMM bertitah, ungkapan cinta sahaja tidak cukup tanpa diiringi dengan perbuatan mentaati suruhan dan meninggalkan larangan.

 

Apabila kita mengikut perintah Rasul, tandanya kita mengasihi Baginda, sesuai dengan firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran, ayat 31, tafsirnya : “Katakan (wahai Muhammad!) : “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan adalah Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

 

Dalam mengakhiri titah perutusan, baginda bertitah, bersempena memperingati Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam ini, marilah kita sama-sama berazam untuk menjadikan institusi keluarga masing-masing sebagai keluarga yang diberkati, mengikut calak keluarga Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.

 

“Semoga dengan azam ini, Allah Subhanahu Wata'ala akan melimpahkan rahmat-Nya kepada semua keluarga, dari kalangan warga dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Amin," titah baginda.


Close