Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries Sdn. Bhd.
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 19 September. – Seramai 21 penerima biasiswa Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) sedang mengikuti pengajian Diploma in Refinery Operator di bawah Hengyi Industries Sdn. Bhd. (Hengyi Industries) dan Program Biasiswa Bersama IBTE berlepas ke Republik Rakyat China, untuk meneruskan pengajian mereka di Lanzhou Petrochemical University of Vocational Technology (LPUVT).
Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Mr. Xiao Jianguo; Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries, Chen Lian Cai; Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr. Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli hadir di majlis perpisahan untuk mengucapkan selamat jalan kepada para pelajar.
"Saya berbesar hati kerana dipilih melanjutkan pelajaran di LPUVT di bawah biasiswa ini.
"Agak menakutkan untuk melancong jauh daripada keluarga saya dan hidup dalam persekitaran yang berbeza. Namun, saya akan bekerja keras untuk memenuhi tanggungjawab saya sebagai anak lelaki dan warga NBD yang membanggakan," kata Muhammad Fahmi bin Khairuskartini, salah seorang pelajar IBTE yang berlepas ke Lanzhou.
Manakala Wong Kah Yung, seorang lagi pelajar IBTE, melahirkan rasa teruja dengan perjalanan yang akan datang.
"Saya amat teruja kerana ia merupakan satu impian setiap pelajar. Peluang besar yang boleh membuat saya benar-benar lebih berdikari sebagai seorang pelajar.
"Yang penting, saya dapat merasai pengalaman baharu persekitaran pembelajaran dan bertemu rakan-rakan baharu. Saya teruja dengan apa yang menanti saya," ujarnya lagi.
Sementara itu, turut berkongsi kegembiraan ialah Allysha Sim Yao Ching.
Beliau berasa gembira apabila dapat melanjutkan pengajian ke LPUVT dan berpeluang untuk mendapatkan lebih banyak pengetahuan dan memupuk kemahiran sendiri dalam kursus yang diambilnya.
"Walaupun ia menakutkan kerana saya terpaksa meninggalkan tempat kelahiran saya sendiri termasuk meninggalkan rumah dan berpisah dengan ibu bapa saya, namun saya benar-benar bersyukur kerana diberi peluang ini," kata Allysha Sim Yao Ching.
Para pelajar berkenaan adalah kumpulan kelima yang menerima anugerah biasiswa di bawah Program Biasiswa bersama Hengyi Industries, IBTE dan LPUVT.
Ditubuhkan pada 2018, program berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif 'Hengyi's Future-ready' dengan tujuan memperkasa bakat tempatan dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi pemimpin masa depan industri petrokimia.
Program biasiswa di antara IBTE dan LPUVT berkenaan menawarkan kursus Diploma in Refinery Operator selama tiga tahun, dengan satu tahun pengajian akademik di IBTE Kampus Jefri Bolkiah, satu tahun pengajian dengan LPUVT di Lanzhou, dan satu tahun latihan industri (bekerja sambil belajar) dengan Hengyi Industries di Pulau Muara Besar.
Selepas tamat pengajian daripada program berkenaan, para pelajar dijangka akan menyertai Hengyi Industries dan memulakan kerjaya mereka dalam industri petrokimia.