K2P2I 5.0 : Terap ilmu kepimpinan Islam



Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 17 September. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) mengadakan Majlis Perasmian Program Kem Kepimpinan Pelaku Pembangunan Islam Siri Ke-5 (K2P2I 5.0) bagi mahasiswa-mahasiswi dan alumni Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam (FPPI), bagi tahun 2023.

 

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan, Dekan Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam, Profesor Madya Dr. Anis Malik Thoha.

 

Turut hadir ialah Timbalan Dekan FPPI, para tenaga akademik, pegawai dan kakitangan serta para peserta program.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi K2P2I 5.0, Awang Muhd Nur Amir Zakwan bin Bungsu.

 

Sejurus selepas itu, majlis diteruskan dengan ucapan perasmian daripada tetamu kehormat majlis.

 

Majlis diteruskan dengan sesi perkongsian yang juga merupakan aktiviti hari pertama program yang disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor FPPI, Dr. Khatijah binti Othman, dengan perkongsian bertajuk 'Stretching Beyond Our Comfort Zone, Expanding our Horizons'.

 

Program K2P2I 5.0 berkenaan merupakan program tahunan yang dikendalikan oleh Badan Pelajar Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam (IDeMs) bertujuan untuk mendidik para peserta agar lebih berjiwa kepimpinan dengan menyuburkan sifat dan ciri-ciri seorang pemimpin Islam.

 

Antara objektif K2P2I 5.0 adalah untuk mendedahkan dan menerapkan ilmu kepimpinan Islam secara teori dan praktikal berkonsepkan Hablu Min Allah, Hablu Min An-Nas dan Hablu Min Al-Alam di samping untuk melahirkan pemimpin muda yang kompeten, berilmu pengetahuan dan berwawasan tinggi serta untuk memupuk sifat pemedulian dalam diri peserta dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama pelajar di dalam fakulti secara khasnya dan masyarakat secara amnya.

 

K2P2I 5.0 kali ini diadakan dengan kerjasama Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan selama empat hari satu malam yang diadakan di tiga buah tempat, iaitu di Kampus UNISSA Gadong; Kampung Semabat, Daerah Temburong; dan Perkampungan Sukan Berakas yang melibatkan seramai 14 tenaga akademik, pegawai dan kakitangan FPPI serta 62 peserta yang terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi tahun 1 hingga tahun 4 dan alumni FPPI.

 

Close