21 pelajar terima anugerah biasiswa Hengyi, IBTE, LPUVT



Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries





MUARA, Khamis, 14 September. - Seramai 21 pelajar dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah dianugerahkan biasiswa di bawah Program Biasiswa Bersama antara Hengyi Industries, IBTE dan Lanzhou Petrochemical University of Vocational Technology (LPUVT). Sehubungan itu, Majlis Penandatanganan Biasiswa telah diadakan hari ini di Pulau Muara Besar, di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat, Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries, Chen Lian Cai dan Ketua Pegawai Eksekutif / Pengarah IBTE, Dr. Haji Mohd. Zamri bin Haji Sabli.


Atur cara majlis dimulakan dengan taklimat keselamatan, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat.


Pada majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries telah menyampaikan ucapan perasmian kepada pelajar dan para tetamu yang hadir.


Majlis diteruskan dengan penandatanganan perjanjian biasiswa antara pelajar dan Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries yang disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif / Pengarah IBTE.


Pelajar-pelajar ini merupakan kumpulan kelima yang menerima biasiswa di bawah Program Biasiswa Bersama Hengyi Industries, IBTE dan LPUVT.


Ditubuhkan pada 2018, program ini adalah sebahagian daripada Inisiatif Hengyi's Future-Ready dengan tujuan memperkasakan bakat tempatan dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi pemimpin masa depan industri petrokimia.


Program biasiswa bersama ini menawarkan kursus diploma selama tiga tahun dalam Operator Penapisan, dengan satu tahun pengajian akademik di IBTE Kampus Jefri Bolkiah, satu tahun pengajian dengan LPUVT di Lanzhou dan satu tahun latihan industri dengan Hengyi Industries di Pulau Muara Besar.


Setelah tamat pengajian daripada program ini, para sarjana dijangka menyertai Hengyi Industries dan memulakan kerjaya mereka dalam industri petrokimia.



Sehingga hari ini, seramai 142 pelajar telah dianugerahkan biasiswa di bawah Program Biasiswa Bersama Hengyi Industries, IBTE dan LPUVT serta 47 pelajar telah memulakan kerjaya mereka sebagai pengendali penapisan di Hengyi Industries setelah menamatkan pengajian mereka.


Close