Jalinan ukhuwah NBD-Malaysia terus akrab





Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi, Nooratini Haji Abas / Foto : Masri Osman, Hamzah Mohidin, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman




BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 8 September. - Misi jelajah Kembara Kenali Borneo Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia XVI, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan kerabat diraja yang lain berkenan berkesempatan untuk singgah ke Negara Brunei Darussalam menerusi laluan Pos Kawalan Imigresen Sementara Labu, Daerah Temburong semalam.


Lawatan Khas baginda berdua bersama kerabat diraja baginda ke negara ini disambut penuh mesra oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berserta kerabat diraja yang antara lain mencerminkan jalinan ukhuwah kedua-dua negara yang sangat akrab dan begitu dekat sekali.


Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia XVI, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berserta kerabat diraja yang lain diraikan dengan Majlis Persantapan yang berlangsung di Istana Nurul Iman, di sini.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat mengalu-alukan keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong di pekarangan Istana Nurul Iman dan seterusnya memperkenalkan kepada ahli-ahli kerabat diraja.


Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan menerima mengadap Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia dan Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang berlangsung di Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman.


Juga berangkat sama pada Majlis Mengadap tersebut ialah ahli-ahli kerabat diraja.


Selepas Majlis Mengadap, Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri seterusnya berangkat ke Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman bersama Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia dan Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berserta ahli-ahli kerabat diraja dan juga ahli-ahli kerabat diraja Pahang bagi Majlis Persantapan.


Majlis Persantapan dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.


Turut berangkat mengiringi Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia dan Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ialah Kebawah DYMM Pemangku Raja Pahang , Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan ahli-ahli kerabat diraja Pahang.


Pada Ogos lalu, Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri telah berkenan berangkat ke Kuala Lumpur, Malaysia bagi mengadakan Keberangkatan Negara dan menghadiri Perundingan Tahunan Ketua-ketua Kerajaan Ke-24.


Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia dan Kebawah DYMM  Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan menyertai misi jelajah Kembara Kenali Borneo dari Sabah ke Sarawak dari 3 hingga 13 September 2023.
























Close