Menyediakan kemahiran, latihan kepada pelajar




Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries Sdn. Bhd.

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 5 September. – Seramai 29 pelajar Kejuruteraan Kimia di bawah Program Kolaborasi Bersama Hengyi Industries Sdn. Bhd. (Hengyi Industries) dan Politeknik Brunei (PB) menyambung pengajian di luar negara selama satu semester di Lanzhou Petrochemical University of Vocational Technology (Lanzhou) di Republik Rakyat China.

 

Majlis menandatangani Perjanjian Penajaan diadakan pada 23 Ogos 2023 lalu.

 

Sebagai sebahagian daripada inisiatif Siap Sedia Masa Depan Hengyi, program berkenaan bertujuan untuk memupuk bakat tempatan dengan menyediakan mereka dengan kemahiran dan latihan yang diperlukan bagi memastikan kesediaan bekerja di Hengyi Industries.

 

"Kami teruja kerana dapat belajar dan berlatih di sana. Peluang ini akan meluaskan ilmu kami untuk kerjaya masa depan kami dengan Hengyi Industries Sdn Bhd. Kami bersyukur dengan peluang yang diberi," kata Muhammad Nur Khairurrabi'ee bin Haji Japarudin, salah seorang penerima biasiswa dari PB.

 

Seorang lagi penerima, iaitu Nabilah Hadirah binti Nazaruddin, melahirkan rasa syukur kerana berpeluang belajar di luar negara. Ini merupakan permulaan perjalanan untuk belajar di Lanzhou dan beliau merasa sangat teruja dan juga rasa ingin tahu suasana pembelajaran di tempat baharu.

 

"Kami tidak sabar-sabar untuk menerima pengalaman, budaya dan pengetahuan baharu. Kami ingin mengucapkan terima kasih yang tulus kepada Hengyi Industries kerana memberi kami peluang yang luar biasa untuk belajar di Lanzhou.

 

"Sokongan dan kepercayaan anda terhadap potensi kami amat bermakna bagi saya. Peluang ini adalah batu loncatan kepada pertumbuhan peribadi dan akademik, dan kami tidak sabar untuk memanfaatkan setiap saat," katanya lagi.

 

Program Kerjasama Bersama Hengyi Industries dan PB menawarkan pelajar Diploma Kejuruteraan Kimia selama tiga tahun, dan mereka telah menamatkan pengajian akademik selama dua tahun di PB dan satu semester latihan industri dengan Hengyi Industries.

 

Setelah tamat pengajian program berkenaan, para pelajar akan menyertai Hengyi Industries dan memulakan kerjaya mereka dalam industri petrokimia.

 

Close